HONG KONG: Taikun media Hong Kong, Jimmy Lai merupakan seorang daripada lapan aktivis demokrasi yang dikenakan hukuman penjara tambahan hari ini selepas menyertai protes ketika ulang tahun ke-70 pentadbiran komunis di China.
Lai yang ketika ini menjalani hukuman penjara kerana terlibat dalam beberapa protes sebelum ini, perlu menjalani hukuman selama 20 bulan selepas mengaku bersalah menganjurkan perhimpunan haram pada 1 Oktober 2019.
Tujuh lagi aktivis termasuk aktivis kempen, Figo Chan, ahli politik, Lee Cheuk Yan dan Leung Kwok Hung turut dikenakan hukuman penjara baharu.
Perhimpunan tersebut menyaksikan rusuhan terburuk berlaku di wilayah separa autonomi ini, melibatkan penunjuk perasaan dan pasukan polis.
Lebih 10,000 orang ditahan ketika siri demonstrasi demokrasi di Hong Kong dengan 2,500 daripadanya didakwa atas beberapa pertuduhan. – AFP










