Covid-19: Kedegilan Modi bawa padah - Utusan Malaysia

Covid-19: Kedegilan Modi bawa padah

SEBUAH tapak kuari granit yang tidak berfungsi dijadikan sebagai pusat pembakaran mayat sementara untuk pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di pinggir bandar Bangalore. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Sebuah forum melibatkan panel penasihat saintifik yang ditubuhkan oleh kerajaan India mendakwa sudah memberi amaran awal kepada pihak berkuasa negara ini mengenai kewujudan varian baharu Covid-19 yang sangat mudah merebak.

Lima saintis yang merupakan sebahagian daripada panel forum itu mendedahkan perkara tersebut kepada Reuters.

Menurut empat saintis berkenaan, meskipun amaran telah diberikan pada awal Mac lalu, kerajaan Persekutuan tidak mengambil sebarang tindakan dengan mengenakan sekatan untuk menghentikan penularan virus tersebut. 

Amaran mengenai kewujudan varian baharu Covid-19 dikeluarkan oleh panel penasihat dikenali sebagai Indian SARS-CoV-2 Genetics Consortium (INSACOG).

INSACOG ditubuhkan pada akhir Disember tahun lalu khususnya untuk mengesan varian genom Covid-19 yang mengancam kesihatan awam. 

INSACOG menghimpunkan 10 makmal kebangsaan yang berupaya mengkaji varian virus. 

Seorang saintis yang enggan mendedahkan namanya mendakwa maklumat itu juga sudah disampaikan kepada seorang pegawai atasan yang melaporkan terus kepada Perdana Menteri, Narendra Modi.

Bagaimanapun, Reuters tidak dapat menentukan sama ada penemuan INSACOG itu telah disampaikan terus kepada Modi sendiri. 

Dalam pada itu, seorang ahli INSACOG, Ajay Parida mendakwa panel penyelidik itu pertama kali mengesan varian B.1.617 seawal Februari lalu.

Menurut pengarah pusat penyelidikan di utara India itu, INSACOG berkongsi penemuannya dengan Pusat Kawalan Penyakit (NCDC) India sebelum 10 Mac lalu dengan memberi amaran bahawa jangkitan boleh merebak dengan cepat di seluruh negara.

Dakwanya, penemuan itu kemudian dihantar kepada Kementerian Kesihatan India.

INSACOG turut menyediakan kenyataan media kepada Kementerian Kesihatan berkaitan penemuan itu yang antaranya menyatakan varian baharu tersebut mempunyai dua mutasi penting terhadap bahagian virus yang melekat pada sel manusia dan ia dikesan pada 15 hingga 20 peratus sampel dari Maharashtra.

 Draf kenyataan itu juga menjelaskan mutasi yang dikenali E484Q dan L452R diklasifikasikan sebagai kebimbangan serius.  

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan India mengumumkan penemuan itu dua minggu kemudian tanpa menekankan isu ‘kebimbangan serius’.  

Sementara itu, Pengerusi kumpulan penasihat saintifik  INSACOG, Shahid Jameel melahirkan kebimbangan terhadap pihak berkuasa yang gagal memberi tumpuan sepenuhnya kepada bukti diberikan ketika merangka dasar.

“Dasar harus berasaskan bukti dan bukannya sebaliknya. Saya bimbang sains tidak diambil kira ketika merangka dasar.

“Sebagai saintis kami mengemukakan bukti dan kerajaan bertanggungjawab merangka dasar,” katanya.

India ketika ini bergelut untuk memerangi gelombang kedua jangkitan Covid-19 yang lebih teruk berbanding tahun lalu. 

Beberapa pakar saintis berpandangan lonjakan kes jangkitan Covid-19 di negara itu berpunca daripada varian baharu dan varian yang dikesan di Britain.  

Peningkatan kes Covid-19 dilihat sebagai krisis terbesar di India sejak Modi mengambil alih pemerintahan pada tahun 2014.

Lonjakan kes itu antara lain didakwa berpunca daripada majlis besar-besaran bagi acara politik dan keagamaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya