Varian B1617 dari India tersebar ke 17 negara -WHO - Utusan Malaysia

Varian B1617 dari India tersebar ke 17 negara -WHO

UPACARA pembakaran mayat secara besar-besaran di New Delhi selepas India melaporkan lonjakan kes kematian akibat Covid-19. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan varian Covid-19 yang dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan baharu di India, ditemui di lebih banyak lagi negara. 

Menurut agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), varian B1617 Covid-19 yang pertama kali ditemui di India, turut dikesan dalam lebih 1,200 jujukan dimuat naik ke pangkalan data GISAID yang merangkumi sekurang-kurangnya 17 negara.

“Kebanyakan jujukan itu dimuat naik dari India, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Singapura,” kata WHO menerusi kemas kini epidemiologi mingguan mengenai pandemik tersebut. 

Baru-baru ini, WHO menyenaraikan B1617 yang mempunyai ciri dan mutasi yang sedikit berbeza, sebagai varian penting namun agensi itu masih belum mentakrifkannya sebagai varian membimbangkan. 

Label itu secara tidak langsung menunjukkan varian itu lebih berbahaya berbanding versi asal virus berkenaan yang lebih mudah menular, membawa maut dan mampu menembusi kekebalan perlindungan vaksin.     

WHO mengakui model awal berdasarkan jujukan yang diserahkan kepada GISAID menunjukkan B1617 mempunyai kadar pertumbuhan lebih tinggi berbanding varian lain di India, malah situasi itu turut menunjukkan potensi peningkatan jangkitan.

WHO menegaskan varian lain pada masa yang sama turut menunjukkan peningkatan kadar jangkitan dan gabungan yang mungkin memainkan peranan dalam lonjakan kes di India.

India ketika ini berdepan dengan lonjakan kes jangkitan baharu dan kematian akibat pandemik Covid-19. 

Terdapat juga kebimbangan bahawa varian baharu Covid-19 boleh memburukkan lagi situasi semasa di negara itu. 

BAKAR MAYAT SECARA BESAR-BESARAN

Krisis Covid-19 di India semakin buruk sehingga pusat pembakaran mayat sementara ditubuhkan di negara republik itu bagi menampung mayat pandemik yang semakin bertambah.

“Kami menyaksikan lebih ramai penduduk terus mati dan mati. Jika kita menerima lebih banyak mayat lagi maka kita terpaksa bakar di atas jalan kerana tiada ruang di sini,” kata Jitender Singh Shanty.

Jitender menguruskan upacara pembakaran kira-kira 100 mayat sehari di sebuah lokasi di timur bandar New Delhi.

Semalam, India melaporkan sebanyak 2,771 kematian dalam tempoh 24 jam dengan kira-kira 115 penduduk India yang dijangkiti wabak itu meninggal dunia setiap jam. 

LEBIH 200,000 KES KEMATIAN COVID-19 

Kementerian Kesihatan India melaporkan jumlah kematian akibat Covid-19 di negara itu kini melepasi 200,000 kes dengan lebih 3,000 orang maut dalam tempoh 24 jam buat pertama kali. 

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan, sebanyak 201,187 orang meninggal dunia dan 3,293 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

India ketika ini melaporkan 18 juta kes jangkitan Covid-19, iaitu peningkatan sebanyak 360,000 kes dalam tempoh 24 jam yang merupakan rekod baharu dunia.

Pada bulan ini sahaja, India merekodkan kira-kira enam juta kes baharu.

Peningkatan kes itu antara lain didakwa berpunca daripada majlis besar-besaran bagi acara politik dan keagamaan. – AGENSI/AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya