JAKARTA: Singapura didakwa menjadi tempat perlindungan bagi individu yang menjadi buruan kes rasuah.
Lapor Tribunnews, maklumat itu didedahkan oleh Timbalan Penguat kuasa Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK), Karyoto yang menjelaskan Singapura adalah satu-satunya negara yang belum menandatangani perjanjian ekstradisi dengan Indonesia.
Jelasnya, menangkap suspek kes rasuah yang tinggal secara tetap di Singapura bukan perkara yang mudah.
“Dari aspek hubungan antarabangsa memang benar mereka yang tinggal secara tetap di Singapura, sekiranya nama mereka dipanggil agak susah untuk kita menahan mereka,” katanya.
Menurut Karyoto, terdapat beberapa suspek buruan kes rasuah yang tinggal di Singapura yang belum diberkas.
Antaranya seperti kes melibatkan Bantuan Kecairan Bank Indonesia (BLBI) apabila pihak berkuasa mengalami kesukaran untuk menahan Sjamsul Nursalim dan Itjih Nursalim yang mempunyai permit penduduk tetap di Singapura.
Pihak KPK beberapa kali menghantar surat pemakluman di kediaman Sjamsul di Singapura.
Bagaimanapun, dia tidak mengendahkan langsung panggilan itu.
Walaupun KPK berkolaborasi dengan Biro Penyiasatan Pengamalan Rasuah di Singapura untuk menangani kes itu, namun, usaha itu tidak berhasil.










