Pejuang etnik mampu kalahkan Tatmadaw - Utusan Malaysia

Pejuang etnik mampu kalahkan Tatmadaw

SEJUMLAH penduduk kampung berlindung di dalam gua berhampiran Day Pu No in Hpa-pun di timur negeri Karen, Myanmar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAE HONG SON: Seorang pejuang di bawah Parti Progresif Karen Kebangsaan (KNPP) yang hanya dikenali sebagai Isaac memaklumkan dia kini mempertimbangkan rancangan untuk kembali ‘berperang’ dengan junta tentera Myanmar.

Lelaki itu menceritakan dia menghabiskan masa selama beberapa tahun sebelum ini menentang pasukan keselamatan Myanmar di bahagian timur negara itu sebelum membuat keputusan untuk ‘bersara’ dan menetap di kawasan sempadan Thailand-Myanmar.

Selama beberapa dekad, Isaac, 49, berjuang mendapatkan autonomi untuk penduduk etnik dari kerajaan pusat Myanmar.

Ketika ini, pergolakan politik yang berlaku di Myanmar menyaksikan kumpulan militia etnik kembali menentang pasukan tentera apabila mereka menyokong penduduk yang menolak rampasan kuasa.

Jelas Isaac, sekiranya semua kumpulan militia bergabung, mereka akan dapat kalahkan pasukan tentera Myanmar.

Lebih 500 penduduk termasuk kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam tindakan keganasan tentera Myanmar di seluruh negara dan situasi itu turut mendapat kecaman daripada kumpulan militia etnik yang jelas menegaskan mereka menyokong penunjuk perasaan.

Di tenggara negeri Karen, kumpulan militia Kesatuan Karen Kebangsaan (KNU) menyatakan mereka menghantar pasukan pejuang untuk ‘melindungi penunjuk perasaan’ yang menentang pasukan keselamatan Myanmar.

Menurut KNU, pasukan pejuangnya ‘membantu’ dengan menyerang dan menyekat pergerakan tentera Myanmar.

Di utara Myanmar, kumpulan Tentera Pembebasan Kachin (KIA) turut mengambil langkah yang sama untuk membantu penunjuk perasaan.

Kelmarin, tiga pasukan gerila termasuk pasukan Tentera Arakan di negeri Rakhine berikrar untuk melakukan ‘revolusi kebangkitan’ jika junta Myanmar tidak menghentikan keganasan yang berlaku.

 

Kerajaan perpaduan kebangsaan

Kumpulan ahli politik demokrasi yang kebanyakannnya bersembunyi mengumumkan beberapa pelan untuk membentuk ‘kerajaan perpaduan kebangsaan’ pada 1 April ini dan barisan kepemimpinan kumpulan etnik menunjukkan kesediaan untuk menyertai pakatan tersebut.

Dr. Sasa, yang menggunakan hanya satu nama dan menggambarkan dirinya sebagai utusan yang mewakili Parlimen Myanmar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, perlembagaan persekutuan melibatkan kumpulan etnik dan kumpulan sivil sudah didraf.

Katanya, terdapat juga rancangan untuk membentuk ‘pasukan tentera persekutuan’ bagi menggantikan ketenteraan Myanmar yang dikenali sebagai Tatmadaw.

“Jika (komuniti antarabangsa) gagal bertindak, perang saudara dan pertumpahan darah tidak akan dapat dielak.

“Sehubungan itu, membentuk pasukan tentera persekutuan merupakan satu keperluan dan itu adalah satu-satunya cara untuk memperoleh demokrasi serta kebebasan,” ujarnya.

 

Perjanjian gencatan senjata tamat

Konflik antara kumpulan etnik di Myanmar bermula sejak negara itu memperoleh kemerdekaan dari Britain pada 1948, namun menandatangani gencatan senjata sejak junta melakukan reformasi demokrasi pada 2011.

Dua kumpulan militia etnik iaitu KNU dan Majlis Pemulihan Negeri Shan (RCSS) memberitahu Reuters bahawa junta Myanmar sudah pun memusnahkan gencatan senjata itu apabila menyerang penduduk awam.

Pengerusi RCSS, Jeneral Yawd Serk berkata, kumpulan militia etnik perlu ‘bersama-sama menentang mereka yang menyakiti rakyat’.

 

Masalah besar

Penganalisis keselamatan dari Britain, Anthony Davis menganggarkan terdapat kira-kira 75,000 anggota pejuang etnik dan angka tersebut mampu memberi tentangan hebat daripada pelbagai sudut terhadap pasukan tentera Myanmar yang seramai 350,000 anggota.

“Jika pejuang Kachin, Karen, Shan dan Rakhine bersatu merancang menentang junta Myanmar, pasukan Tatmadaw bakal berdepan dengan masalah besar,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×