LONDON: Jenama fesyen mewah global, Gucci melancarkan koleksi kasut sukan terbaharunya dalam versi digital yang dikenali sebagai Gucci Virtual 25 pada harga serendah 8.99 pound (RM51).
Kasut yang mempunyai logo ikonik Gucci itu hanya boleh dipakai `secara maya’ sekali gus memberi peluang kepada pengguna media sosial kelihatan bergaya memakai kasut jenama mewah itu.
Lapor Daily Mail, individu yang membeli Gucci Virtual 25 hanya perlu mengimbas kaki mereka menggunakan kamera telefon pintar dan kemudian kasut sukan berwarna hijau dan merah jambu akan muncul.
Pereka dari Itali membangunkan kasut digital itu dengan kerjasama syarikat Wanna.
Wanna merupakan sebuah syarikat teknologi fesyen berpangkalan di Belarus yang menggunakan augmented reality (AR).
Kasut itu boleh `dipakai’ menerusi aplikasi Gucci dan Wanna di platform permainan dalam talian, Roblox dan aplikasi media sosial lain.
Idea ini tercetus di tengah-tengah populariti koleksi barangan secara maya yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna media sosial.
Sementara itu, Pengasas bersama dan Ketua Eksekutif Wanna, Sergey Arkhangelskiy berkata, fesyen membabitkan teknologi AR akan terus berkembang dan mungkin tidak lama lagi berintegrasi dengan premis perniagaan.
“Matlamat kami adalah untuk menggantikan gambar produk dengan sesuatu yang lebih menarik dan memberi kelainan kepada pembeli,” katanya.










