Wanita tertua dunia bawa obor Olimpik Jepun - Utusan Malaysia

Wanita tertua dunia bawa obor Olimpik Jepun

PIX 2 - TANAKA memecah rekod dunia apabila dinobatkan sebagai individu paling tua. - REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Seorang wanita paling tua di dunia yang berusia 118 tahun dipilih membawa obor Sukan Olimpik pada Julai ini di Jepun. 

 CNN berpeluang menemu bual secara eksklusif dengan Kane Tanaka dan dimaklumkan keluarganya akan menolak wanita itu dengan kerusi roda sejauh 100 meter. 

Selain suka minuman bersoda, Tanaka yang berasal dari Fukuoka memiliki sepasang kasut sneakers baharu bagi acara itu yang dihadiahkan oleh keluarganya semasa sambutan hari lahir Januari lalu.

 “Biarpun sudah berusia 118 tahun, nenek masih boleh mengamalkan gaya hidup aktif. Kami mahu orang lain melihat nenek dan mendapat inspirasi bahawa umur bukan penghalang untuk melakukan apa sahaja,” kata cucunya, Eiji Tanaka, 60. 

Pemegang rekod lampau bagi pembawa obor tertua Sukan Olimpik ialah Aida Gemanque, 106, dari Brazil yang menyalakan obor semasa Sukan Musim Panas Rio 2016. 

Selain itu, pemain tenis, Alexander Kaptarenko, 101, yang berlari dengan obor semasa Sukan Musim Sejuk Sochi 2014. 

Latar belakang 

Tanaka dilahirkan pada 1903 iaitu tahun sama pengasas kapal terbang pertama di dunia mencipta sejarah iaitu Orville dan Wilbur Wright. 

Warga emas itu mempunyai empat anak, lima cucu dan lapan cicit hasil perkahwinan dengan pemilik kedai beras semasa berusia 19 tahun.  

Dia sempat melalui dua zaman perang dunia dan semasa serangan virus selesema Sepanyol 1918. 

Umurnya juga sama tua seperti Sukan Olimpik yang bermula pada 1896. 

Semasa Olimpik kali terakhir diadakan di Tokyo pada 1964, Tanaka berusia 61 tahun ketika itu. 

Wanita itu sekarang tinggal di rumah penjagaan orang tua dan sering bangun pada pukul 6 pagi. 

Keluarga Tanaka yang tidak dapat melawatnya selama 18 bulan semasa pandemik Covid-19 berkata, perasaan ingin tahu yang tinggi dan melakukan matematik adalah rahsia membuatkan mindanya menjadi tajam serta kekal sihat. 

Tanaka pernah dua kali diserang kanser dan melalui dua pandemik yang melanda global. 

Jepun cipta rekod

Buat pertama kali tahun lalu, Kementerian Kesihatan, Pekerjaan dan Kebajikan Jepun merekodkan lebih 80,000 golongan yang sudah mencecah usia 100 tahun masih hidup di negara itu. 

Tahun lalu, seorang daripada 1,565 individu di Jepun berusia melebihi 100 tahun iaitu bersamaan 88 peratus golongan wanita. 

Data pihak kerajaan yang dikeluarkan pada Julai tahun lalu turut menunjukkan jangka hayat wanita adalah 87.45 tahun berbanding lelaki 81.4 tahun. 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya