JAKARTA: Jurucakap Program Vaksinasi Covid-19 Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi menegaskan vaksin yang dihasilkan Sinovac selamat dan berkesan bagi kanak-kanak.
Lapor Kompas.com, pihak kementerian masih menunggu keputusan keseluruhan ujian klinikal terhadap kanak-kanak sebelum memutuskan sama ada menggunakan vaksin itu atau sebaliknya.
“Kita masih menunggu keputusan ujian klinikal daripada Persatuan Pediatrik Indonesia dan Kumpulan Penasihat Teknikal Indonesia,” katanya.
Sebelum ini, syarikat farmaseutikal dari China, Sinovac mengumumkan vaksin yang dihasilkan mereka adalah selamat dan berkesan bagi kanak-kanak berumur tiga hingga 17 tahun berdasarkan data awal ujian klinikal.
Pakar Perubatan Sinovac, Dr. Gang Zeng berkata, ujian klinikal awal terhadap 550 responden menunjukkan vaksin bertindak balas terhadap tahap keimunan.
Katanya, penerima dua vaksin yang berumur tiga tahun dan enam tahun mengalami demam selepas menerima suntikan, sementara, responden lain mengalami gejala ringan.
Namun, jelasnya data yang ditunjukkan kepada orang ramai oleh syarikat itu tidak mencukupi membekalkan jawapan tepat terhadap penemuan itu.










