Tindakan Korea Utara putuskan hubungan diplomatik sudah dijangka - Utusan Malaysia

Tindakan Korea Utara putuskan hubungan diplomatik sudah dijangka

TINDAKAN memutuskan hubungan diplomatik itu turut memberi isyarat kepada Amerika Syarikat (AS). -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASMANIA: Tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia baru-baru ini seperti sudah dijangka.

Penganalisis politik, Prof. James Chin berkata, Pyongyang sememangnya mempunyai sejarah panjang menggunakan bahasa kasar dan memutuskan hubungan dalam sebarang situasi yang dianggap sebagai penghinaan.

Namun dalam kes ini, James berpandangan tindakan memutuskan hubungan diplomatik itu turut memberi isyarat kepada Amerika Syarikat (AS).   

Katanya, ia amat jelas apabila Korea Utara mendakwa insiden itu merupakan konspirasi anti-Korea Utara yang diwujudkan oleh AS untuk menindas rakyatnya.

“Kounselor Kedutaan Korea Utara, Kim Yu-song menerusi satu kenyataan mendakwa tindakan pihak berkuasa Malaysia membuktikan negara itu mempunyai kaitan dengan gerakan anti Korea Utara yang digerakkan oleh AS untuk menjatuhkan kedaulatan dan hak negaranya.

“Jadi, dengan melibatkan AS dalam isu ini, Korea Utara sebenarnya memberi isyarat kepada pentadbiran Presiden Joe Biden bahawa mereka tidak gentar dengan sesiapa sahaja yang memerintah negara itu,” katanya menerusi ruangan komentar yang disiarkan oleh Channel News Asia.

Minggu lalu, Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan seorang rakyatnya, Mun Chol Myong diekstradisi ke AS untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Ekoran daripada itu, Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara untuk meninggalkan negara itu.

Chol Myung ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 menerusi waran tangkap mengikut Seksyen 13 (1)(b) Akta Ekstradisi 1992 susulan dakwaan konspirasi penggubahan wang haram serta melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

James yang juga Pengarah Asia Institute, University of Tasmania di Australia memberitahu Malaysia merupakan sekutu diplomatik terdekat Korea Utara di Asia Tenggara selepas menjalin hubungan pada tahun 1973. 

Namun, hubungan kedua-dua negara itu mula menjadi tegang selepas kes pembunuhan abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2017.  

Dalam pada itu, James berkata, Korea Utara tidak akan terjejas teruk berikutan langkah memutuskan hubungan dengan Malaysia.

Katanya, tindakan itu tidak banyak menghentikan usaha Korea Utara untuk mengelak sekatan sama ada di Malaysia mahupun di negara lain.

Sebaliknya, beliau melihat keputusan memutuskan hubungan dua hala itu hanyalah satu lagi percaturan hubungan diplomatik.  

Menurut James, beliau menjangka hubungan antara Malaysia dan Korea Utara akan kembali terjalin pada masa depan.

Malah, kedua-dua negara bakal menyaksikan manfaat hubungan itu dalam jangka masa panjang. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×