JAKARTA: Seorang lelaki warga emas yang dikenali sebagai Wirjawan Hardjamulia dan berasal dari Sukasari, Bogor di Jawa Barat menjadi individu paling tua di Indonesia menerima suntikan vaksin Covid-19.
Di usia 104 tahun, Wirjawan masih sihat dan bersemangat untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi melindungi dirinya daripada jangkitan Covid-19.
Ketika disuntik, lelaki warga emas itu kelihatan tenang dan tidak mengalami sebarang masalah.
Wirjawan ditemani anak ketiganya, Indri yang berusia 72 tahun.
Jelas Indri, mereka sekeluarga pada mulanya ragu-ragu untuk membenarkan bapanya menerima suntikan vaksin ekoran usianya yang sudah lanjut.
“Namun, bapa tetap optimis dan yakin vaksin yang digunakan adalah selamat dan dapat melindungi kami dari Covid-19.
“Akhirnya kami bersetuju membenarkan bapa menerima suntikan tersebut dan segalanya berjalan lancar,” katanya seperti yang dilapor Kompas.com.
Dalam pada itu, Indri memberitahu bapanya sentiasa berfikiran positif dan itu mungkin menjadi rahsia usia bapanya masih panjang.
“Bapa sangat berdisiplin dalam melakukan aktiviti harian termasuk amalan pemakanannya,” ujarnya.
Sementara itu, jurucakap Hospital Vania, Dede Nurhasan berharap keyakinan Wirjawan untuk menerima suntikan vaksin dapat memotivasikan semua penduduk Indonesia.
Katanya, masih ada rakyat yang takut dan ragu-ragu dengan keberkesanan vaksin dan kisah Wirjawan diharap dapat memberi impak positif.









