LONDON: Satu teori baharu mendakwa tentera Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac 2014.
Memetik laporan Daily Mail, teori konspirasi itu didedahkan oleh seorang wartawan Perancis, Florence de Changy dalam buku terbaharunya berjudul The Disappearing Act: The Impossible Case of MH370.
Teori itu mendakwa, tentera AS menggunakan teknologi electronic jamming untuk menghilangkan pesawat terbabit dari skrin radar sebelum menembak jatuhnya selepas mereka gagal mengubah laluan penerbangan dan merampas peralatan elektronik yang sangat sensitif ke China.
De Changy menulis laporan berita dan menyiasat mengenai misteri kehilangan pesawat MH370 sejak ia disiarkan di saluran televisyen untuk beberapa bulan selepas Mac 2014.
Dalam buku setebal 400 muka surat, wartawan dan wakil Far-Eastern bagi akhbar Perancis Le Monde itu mengkaji pelbagai teori dikemukakan untuk menjelaskan misteri yang berlaku pada pesawat tersebut.
Namun, berhubung dakwaan bahawa kes itu adalah misteri, de Changy berpandangan ia merupakan penipuan semata-matanya yang dicetuskan oleh pihak bertanggungjawab dan mengetahui perkara sebenar berlaku terhadap Boeing 777 pada hari kejadian.
“Tidak mungkin… Boeing 777 hilang begitu sahaja,” katanya dalam buku tersebut.
Malah, beliau juga menyifatkan kehilangan pesawat itu sebagai misteri terbesar dalam sejarah industri penerbangan, yang dipercayai penipuan terbesar.
Setelah menerangkan secara lebih terperinci dengan mengenepikan sebahagian besar teori dikemukakan antaranya seperti pesawat itu dirampas, kapten mengamuk, kapal terbang terbakar, situasi hipoksia dalam kabin, de Changy menampilkan hipotesisnya sendiri dalam epilog buku tersebut.
Beliau mendakwa pesawat MH370 ditembak jatuh oleh Tentera Udara AS selepas gagal memintas kapal terbang itu dan merampas penghantaran `peralatan elektronik’ yang dalam perjalanan ke Beijing malah negara kuasa besar itu tidak mahu China memilikinya.
Beberapa bulan setelah misi gagal dan tindakan menjatuhkan pesawat, de Changy mendakwa kerajaan terlibat selepas insiden itu telah memulakan kempen alih perhatian dan berita palsu untuk menyembunyikan kekejaman tersebut.
Dalam buku tersebut, wartawan itu memaklumkan bahawa hipotesisnya berdasarkan tujuh tahun siasatan merangkumi sebahagian besar benua.
Bagaimanapun, wartawan itu menegaskan ia adalah teori tersendiri mengenai apa yang berlaku pada pesawat MH370. – AGENSI










