Tarik balik saman pakai skirt labuh - Utusan Malaysia

Tarik balik saman pakai skirt labuh

IDRIS Hamud dan anak perempuannya, Sumayyah (kiri) dan Siham (kanan) serta anak lelakinya. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 LONDON: Sekolah Tinggi Uxbridge menarik balik saman yang dikemukakan terhadap seorang murid beragama Islam kerana memakai skirt uniform sekolah yang disifatkan ‘terlalu labuh’. 

Lapor Metro, Siham Hamud, 12, dihantar balik ke rumah dari sekolah setiap hari pada Disember lalu dan diberitahu supaya memakai skirt lebih pendek atau seluar panjang berwarna hitam yang disediakan oleh pembekal pakaian seragam rasmi. 

Bagaimanapun, ibu bapa murid itu mempertikaikan garis panduan pemakaian itu kerana bertentangan kepercayaan agama kerana skirt lebih pendek itu berada di atas paras lutut. 

Murid perempuan itu memakai skirt panjang ke sekolah selama bertahun-tahun tanpa sebarang masalah, sehingga peraturan baharu itu diperkenalkan dua tahun lalu. 

Siham memaklumkan, dia dibuli disebabkan kepercayaan agamanya dan memberitahu The Guardian, dia berasa terpinggir kerana tidak dapat melihat rakan-rakan yang lain. 

“Mereka tidak menerima saya disebabkan agama saya dan apa masalahnya? Saya keliru dan kesal kerana tidak boleh memakai apa yang saya hendak mengikut agama,” luahnya. 

Sekolah yang terletak di Hillingdon, barat London itu memfailkan tindakan undang-undang terhadap keluarga itu pada 9 Disember lalu kerana Siham didakwa tidak hadir bersebab ke kelasnya. 

Namun, tiga bulan selepas itu, pihak sekolah menarik semula keputusan berkenaan dan membuat permohonan maaf. 

Menerusi kenyataan yang disiarkan oleh peguam yang mewakili keluarga itu, Mishcon de Raya, bapa murid itu, Hamud berterima kasih kepada pihak sekolah kerana mengambil pendekatan yang adil dan positif. 

“Kami sangat gembira kerana Siham boleh menyambung semula sesi persekolahan dengan hak untuk mengamalkan kepercayaan dengan memakai skirt panjang,” katanya. 

 

 

  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN