WASHINGTON: Seorang model wanita dari North Carolina menjalani pembedahan kosmetik mengecilkan dahi selepas berasa kurang selesa dengan saiz dahinya yang besar.
Lapor Metro, Camilla Coleman Brooks, 26, menghabiskan masa hampir sedekad menyembunyikan dahi sebesar 8.5 sentimeter dengan menggayakan rambut potongan `fringe’.
Ukuran itu dikatakan dua sentimeter lebih besar berbanding purata saiz dahi wanita di Amerika Syarikat (AS).
Model itu meneliti pelbagai pilihan lain sehingga dia memutuskan untuk melakukan pembedahan mengecilkan dahinya.
Ibu kepada dua orang anak itu, membelanjakan sejumlah AS $6,958 (RM28,653) untuk menjalani pembedahan kosmetik itu yang berjaya mengecilkan saiz dahinya sebanyak tiga sentimeter.
Pembedahan yang berlangsung selama dua setengah jam itu turut melibatkan pengubahan garis rambut untuk mengurangkan saiz dahi.
Pakar bedah melakukan proses insisi di dahi dan memotong bahagian yang ditandakan untuk dikeluarkan.
Mereka kemudian menggabungkan insisi atas dengan insisi dahi wanita itu yang secara tidak langsung mengecilkan ruang dahinya sebanyak tiga sentimeter.
Brooks turut berkongsi pengalamannya menjalani pembedahan mengecilkan dahi di aplikasi TikTok yang mana video yang dimuat naik itu mendapat jutaan tontonan.
Rata-rata pengguna tertarik dengan kisah model itu sehingga ada dalam kalangan mereka menyatakan mahu mencuba pembedahan tersebut.
Brooks menjalani pembedahan itu di Klinik Zeeba di Cleveland, Ohio pada bulan lalu.











