Lebih 300 nyawa melayang di Myanmar - Utusan Malaysia

Lebih 300 nyawa melayang di Myanmar

AHLI keluarga Khin Myo Chit tidak dapat menahan kesedihan selepas kanak-kanak itu maut terkena tembakan pasukan keselamatan di Mandalay, Myanmar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh dalam siri tunjuk perasaan baharu di Myanmar semalam, menjadikan jumlah keseluruhan korban ketika ini seramai 320 orang, menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP).

Persatuan itu memaklumkan, pihaknya merekodkan semua kematian melibatkan penunjuk perasaan di seluruh  negara termasuk Yangon yang merupakan bandar terbesar.

Di Mandalay, AAPP menyatakan seorang remaja berusia 16 tahun merupakan antara yang maut terkena tembakan oleh pasukan keselamatan semalam.

“Jenayah menentang kemanusiaan berlaku setiap hari di negara ini dan keadaan semakin teruk.

“Sebanyak 25 peratus daripada mangsa yang terbunuh maut akibat terkena tembakan pada kepala dengan hampir 90 peratus adalah lelaki berusia 24 tahun ke bawah,” menurut AAPP.

Kenyataan itu kontra dengan makluman yang disampaikan oleh jurucakap tentera Myanmar yang memberitahu sebanyak 164 penunjuk perasaan dan sembilan anggota keselamatan maut setakat ini.

Satu lagi pertubuhan, Save the Children pula menyatakan sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak maut sejak Februari lalu dengan yang terbaharu melibatkan seorang budak perempuan berusia tujuh tahun di Mandalay, baru-baru ini.

Sementara itu, kabakaran yang diakibatkan oleh bom Molotov dilaporkan berlaku di ibu pejabat Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN