Kes bunuh diri di Thailand tinggi - Utusan Malaysia

Kes bunuh diri di Thailand tinggi

UNYAKARN Booprasert tidak dimaklumkan sebarang sebab tidak mendapat skim bantuan kerajaan. -CHANNEL NEWS ASIA 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Seluruh dunia terjejas akibat pandemik Covid-19 termasuk Thailand apabila menyaksikan jutaan orang kehilangan pekerjaan tahun lalu. 

Situasi itu turut melanda seorang tukang cuci, Unyakarn Booprasert, 59, yang terpaksa membahagikan sebungkus mee segera kepada tiga kali waktu makan. 

Dia sangat terdesak mendapatkan bantuan 15,000 baht (RM2,000) seperti yang dijanjikan pihak kerajaan menerusi skim bantuan tunai No One Left Behind yang dibayar selama tiga bulan. 

Apabila menyedari dirinya merupakan antara 15 juta pemohon yang tidak layak mendapatkan bantuan, Unyakarn merayu kepada pihak berkuasa Thailand, April lalu. 

“Apabila saya pergi ke Kementerian Kewangan, mereka langsung tidak mendengar rintihan saya. Daripada tindakan mereka, orang miskin ini sama seperti babi atau anjing iaitu binatang yang berkudis,” rintihnya. 

Rentetan itu, Unyakarn nekad membunuh dirinya sendiri dengan racun tikus di hadapan bangunan kementerian itu. 

“Saya mahu protes kerana ia bukan sahaja melanda saya, tetapi kepada ramai orang di luar sana,” katanya kepada program Undercover Asia. 

Selepas percubaan bunuh diri itu, pihak berkuasa melihat kesnya semula dan memutuskan dia layak menerima bantuan. 

 

Kes bunuh diri meningkat 

Kes percubaan bunuh diri di Thailand menyaksikan peningkatan semasa musim pandemik Covid-19. 

Seramai 2,551 orang membunuh diri sendiri semasa suku pertama tahun lalu yang meningkat sebanyak 22 peratus dalam tempoh sama pada 2019. 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2019, kadar bunuh diri tahunan di Thailand adalah 14.4 daripada 100,000 populasi, sementara, purata piawaian umur global adalah 10.5 daripada 100,000. 

Piawaian umur bermaksud variasi yang timbul daripada struktur usia yang berbeza di negara ini dihapuskan. 

Secara perbandingan, kadar kes bunuh diri di negara Asia Tenggara dalam senarai WHO bermula dari 3.2 (Filipina) kepada 11.2 (Singapura) bagi setiap 100,000 populasi. 

Pihak kesihatan menjelaskan peningkatan itu mempunyai kaitan dengan masalah tekanan dan cubaan membunuh diri berlaku pada setiap 10 minit. 

 

Sektor pelancongan terjejas

Kumpulan pekerjaan yang terjejas akibat virus itu termasuk pekerja sektor pelancongan, pekerja seks dan golongan migran. 

Pelancongan asing yang menyumbang 12 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Thailand jatuh merosot ketika negara menghalang perjalanan antarabangsa bagi membendung penularan Covid-19. 

Pakar Ekonomi, Thanaporn Sriyakul berkata, pekerja seks berkemungkinan tidak didaftarkan dalam sistem keselamatan sosial dan mempunyai akses terhad terhadap bantuan kerajaan. 

Golongan yang berhijrah dari kawasan kampung ke bandar turut berdepan kesukaran mendapatkan bantuan menerusi skim itu kerana diklasifikasikan dalam rekod kerajaan sebagai petani yang termasuk dalam skim bantuan kewangan berbeza. 

  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×