YANGON: Junta tentera Myanmar membebaskan lebih 600 tahanan penunjuk perasaan yang membantah rampasan kuasa termasuk seorang jurugambar agensi berita AP yang membuat liputan media ketika protes di negara itu.
Rejim tersebut menggunakan tindakan ganas dan kekerasan apabila cuba untuk menghentikan protes di seluruh negara akibat rampasan kuasa pada 1 Februari lalu dan penahanan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi.
Suu Kyi dijadualkan dibicarakan pada Rabu di Naypyidaw atas beberapa tuduhan jenayah yang boleh menyebabkan beliau dilarang daripada menyertai politik untuk selama-lamanya.
Peguam Suu Kyi, Khin Maung Zaw bagaimanapun berkata, pendengaran kes pemimpin itu ditangguhkan hingga 1 April depan disebabkan masalah persidangan video selepas junta menyekat internet di Myanmar.
Di Yangon, jurugambar berkenaan, Thein Zaw, 32, yang ditahan pada bulan lalu ketika membuat liputan mengenai protes, telah dibebaskan dari penjara Insein.
“Saya dalam perjalanan pulang ke rumah untuk bertemu dengan ibu. Saya dalam keadaan sihat.
“Pegawai polis yang mendakwa saya, sudah pun menarik balik dakwaan, itulah sebabnya mereka melepaskan saya tanpa syarat,” katanya kepada AFP.
Thein Zaw didakwa atas tuduhan “menyebarkan berita palsu” bersama lima wartawan lain yang ditahan pada hari yang sama.
Mereka dari media Myanmar Now, Myanmar Photo Agency, 7Day News, portal berita Zee Kwet dan wartawan sambilan.
Terdahulu, lebih 600 penunjuk perasaan yang ditahan kerana protes menentang rampasan kuasa, dibebaskan daripada penjara yang sama.
“Kami membebaskan 360 lelaki dan 268 wanita dari penjara Insein hari ini,” kata pegawai kanan penjara kepada AFP.
Maung Myint yang turut berada di penjara bagi kes pendengaran dua anak guamnya yang lain berkata, sebanyak 16 bas yang membawa individu tersebut meninggalkan penjara berkenaan pada jam 10 pagi (waktu tempatan). – AFP










