LONDON: Itali melaksanakan semula perintah berkurung akibat lonjakan kes jangkitan Covid-19 termasuk penyebaran varian baharu yang dilaporkan di negara itu.
Lapor CNN, hampir separuh daripada 20 wilayah Itali yang merangkumi bandar Rome, Milan dan Venice menguatkuasakan perintah berkurung baharu.
Berdasarkan dekre yang diluluskan oleh Perdana Menteri Itali, Mario Draghi pada mesyuarat Kabinet Jumaat lalu, sekatan itu akan berkuatkuasa sehingga 6 April depan.
Draghi berkata, pelaksanaan sekatan itu amat perlu kerana Itali kini dilanda gelombang baharu jangkitan Covid-19 setahun selepas permulaan pandemik berkenaan.
Penduduk yang tinggal kawasan zon merah tidak dibenarkan untuk keluar dari rumah kecuali bagi tujuan kerja atau kesihatan.
Di kawasan zon jingga pula, penduduk dilarang meninggalkan bandar dan wilayah keculai atas sebab kerja atau kesihatan manakala restoran dan bar hanya boleh melakukan perkhidmatan penghantaran makanan dan bawa pulang sahaja.
Kawasan yang terjejas akan dikategorikan sebagai zon merah atau jingga berdasarkan tahap penularan wabak itu.
Sementara itu, lapor Daily Mail, Paris berkemungkinan mengikut jejak langkah Itali dengan melaksanakan semula perintah berkurung disebabkan peningkatan kes penyebaran varian baharu virus Covid-19 dan bekalan vaksin terhad sehingga menjejaskan usaha vaksinasi negara itu.
“Jika perintah berkurung perlu dilaksanakan, kami akan melakukan demikian. Situasi di Paris ketika ini semakin kompleks, tegang dan buruk,” kata ketua agensi kesihatan, Jerome Salomon dalam satu temubual bersama televisyen BFM.
Majoriti negara Eropah kini mula menyaksikan kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat ketika berdepan dengan penyebaran varian baharu dan lebih mudah berjangkit itu.
Dengan kempen vaksinasi yang terganggu di benua itu dan hanya tujuh peratus populasi penduduknya ketika ini diberi sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19, beberapa pemimpin negara terpaksa melaksanakan kembali perintah berkurung untuk mengawal penularan wabak itu.









