COLOMBO: Kerajaan Sri Lanka tidak mahu ‘terburu-buru’ melaksanakan langkah pengharaman pemakaian burqa dan penutupan lebih 1,000 sekolah pondok atau madrasah di negara ini.
Jurucakap Kabinet, Kaheliya Rambukwella berkata, keputusan itu adalah isu serius yang memerlukan pemantauan dan rundingan daripada pelbagai pihak.
Katanya, langkah tersebut akan dilaksanakan selepas semua isu diambil kira, termasuk melakukan rundingan dengan organisasi dan pemimpin Islam.
“Kita tidak akan bertindak terburu-buru kerana ia melibatkan isu yang serius,” katanya kepada Arab News.
Rambukwella membuat kenyataan itu sehari selepas wakil Pakistan ke Colombo, Saad Khattak mengkritik rancangan negara ini untuk mengharamkan burqa dan menutup madrasah.
Saad menerusi Twitternya menulis, rancangan itu mencalarkan perasaan penduduk Islam di negara ini dan juga umat Islam di seluruh dunia.
Terdahulu, Menteri Keselamatan Awam Sri Lanka, Sarath Weerasekara menandatangani dokumen untuk meminta Kabinet meluluskan pengharaman burqa kerana melambangkan ‘pelampau agama’.
Beliau juga meminta supaya lebih 1,000 madrasah diharamkan kerana tidak berdaftar dengan kerajaan.











