JAKARTA: Sejumlah penduduk menangis selepas mengetahui duit simpanan mereka di Baitulmal (BMT) Taruna Sejahtera di Ungara, Jawa Tengah tidak boleh dikeluarkan kerana ‘sudah lesap’.
Lapor Kompas.com, jumlah wang simpanan milik orang awam di baitulmal tersebut dianggarkan sebanyak satu bilion rupiah (RM285,597).
Ketua Pegawai Eksekutif BMT Taruna Sejahtera, Yahsun mengakui perkara tersebut dan memaklumkan baitulmal itu berdepan dengan masalah kewangan sejak pandemik Covid-19 melanda Indonesia.
“Kami mula berdepan dengan masalah kewangan ketika pandemik Covid-19 bermula di negara ini, namun BMT Taruna Sejahtera komited untuk mengembalikan semula duit simpanan pelanggannya.
“Kami akan pulangkan semula semua duit milik pelanggan selepas aset berupa tanah di Semarang dijual,” katanya.
Yahsun juga menyatakan pihaknya sudah berunding dengan Polis Semarang untuk memberi jaminan kesemua duit simpanan pelanggannya akan dipulangkan semula dengan kadar segera.
Dalam pada itu, peguam kepada tiga pelanggan BMT, Bramedika Kris Endira berkata, beliau sudah mengeluarkan notis kepada Taruna Sejahtera sejak Oktober 2020, namun tiada respon.
Jelasnya, jumlah keseluruhan wang yang tidak boleh dikeluarkan oleh tiga anak guamnnya bernilai 200 juta rupiah (RM56,827).
“Pelanggan BMT sering dijanjikan wang mereka akan dikembalikan, namun sehingga kini semuanya hanya janji kosong.
“Duit pelanggan digunakan untuk membeli aset dan memgembangkan perusahaan BMT dan tindakan ini menyalahi undang-undang,” ujarnya.
Hal sama turut disuarakan oleh wakil pelanggan BMT tersebut yang dikenali sebagai Mansuri.
Lelaki itu memberitahu, BMT Taruna Sejahtera berjanji akan memulangkan duit mereka sejak Mac tahun lalu, namun tiada apa yang berlaku.










