LONDON: Seorang wanita yang wajahnya mirip dengan Meghan Markle mampu menjana sebanyak 300 pound (RM1,722) setiap kali membuat penampilan seperti isteri Putera Harry itu.
Namun, Sarah Mhlanga mengakui dia berasa takut untuk meneruskan kerjayanya kerana dia menjadi subjek kecaman daripada orang ramai yang melepaskan kemarahan mereka terhadap Markle.
Duchess of Sussex itu menjadi tumpuan dunia selepas mengadakan temu bual eksklusif bersama pengacara terkenal, Oprah Winfrey, baru-baru ini.
Sarah tinggal di barat laut England dengan suaminya, Jabu, 40, serta mempunyai anak bernama Josiah, 10, dan Mimi Raie, 8.
Disebabkan pekerjaannya dihentikan sementara susulan pandemik Covid-19, Mhlanga berada dalam ketakutan dan berfikir untuk berhenti kerja kerana bimbang tiada siapa yang mahu mengambilnya bekerja.
“Terdapat segelintir orang yang merasakan saya seperti Markle yang berperang dengan keluarga diraja. Disebabkan mereka tidak boleh menyerang Markle, jadi mereka menjadikan saya sebagai sasaran,” luahnya.
Mhlanga turut menceritakan bagaimana dia mula menerima mesej kejam di media sosial selepas Harry dan Markle mengumumkan pengunduran mereka daripada kehidupan diraja pada Januari tahun lalu.
Katanya, dia dikatakan seiras Markle sejak Ogos 2017 apabila seorang juruwang di IKEA menegur tentang kemiripan wajahnya.
“Saya tidak berfikir banyak tentang itu sehingga sebulan selepas itu, Markle dan Harry bertunang.
“Saya mula menjadi perhatian, malah banyak pihak mengupah saya untuk berpenampilan seperti Markle dalam beberapa majlis dan parti bertemakan diraja, selain dijemput melakukan promosi serta muncul di televisyen,” ujarnya.









