GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus mendakwa data tidak didedahkan kepada pasukan pakar antarabangsa yang ke Wuhan untuk menyiasat asal usul pandemik Covid-19.
Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan negara Barat yang lain menggesa China untuk memberikan akses penuh semua data berkaitan dengan kluster pertama wabak itu yang tercetus pada hujung 2019.
Dalam laporan akhir, pasukan penyiasat yang dilantik oleh WHO membuat kesimpulan bahawa Covid-19 berkemungkinan menular ke manusia daripada kelawar menerusi haiwan perantara.
Pakar penyelidik antarabangsa itu juga menolak teori virus tersebut ‘dilahirkan’ dari makmal virologi.
Salah seorang penyiasat kumpulan itu memaklumkan bahawa China enggan memberikan data awal kes Covid-19 kepada pasukan yang dilantik oleh WHO.
“Dalam perbincangan bersama pasukan pakar penyiasat, mereka memaklumkan mengalami kesukaran untuk mengakses data awal.
“Saya harap agar kajian yang dilakukan secara bersama selepas ini akan melibatkan perkongsian data yang lebih tepat dan komprehensif,” katanya. – REUTERS










