WASHINGTON: Objek berhampiran bumi yang dijangka bertembung dengan planet itu pada 2068, dilaporkan tidak lagi menjadi ancaman sekurang-kurangnya untuk 100 tahun akan datang.
Lapor Daily Mail, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) membuat pengumuman itu selepas asteroid Apophis dilaporkan melepasi bumi pada awal bulan ini.
Insiden berkenaan membolehkan agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) itu melakukan kajian baharu terhadap asteroid terbabit dengan membuat anggaran orbit batu angkasa di sekitar matahari.
Para saintis menggunakan antena radio sepanjang 70.10 meter di Goldstone Deep Space Communication Complex di Deep Space Network berhampiran Barstow, California untuk mengesan secara tepat pergerakan Apophis serta mendedahkan bahawa `impak 2068 tidak lagi berada dalam kemungkinan.’
Bagaimanapun, asteroid itu dijangka kembali semula pada tahun 2029 namun data baharu itu meramalkan bahawa ia akan melintasi kira-kira 32,186 kilometer (km) dari bumi yang masih dikatakan dalam jarak selamat.
Apophis yang dinamakan sempena dewa zaman Mesir Kuno, God of Chaos adalah selebar lebih 304.8 meter dan impaknya setara dengan 880 juta tan bahan letupan trinitrotoluene (TNT) meletup sekali gus.
Asteroid itu pertama kali dikesan oleh ahli astronomi di Balai Cerap Nasional Kitt Peak, Arizona pada 19 Jun 2004.
Sejak itu, para saintis mengesan setiap pergerakannya ketika ia mengorbit matahari yang mana ia selesai dalam tempoh kurang daripada satu tahun bumi.
“Impak 2068 tidak lagi berada dalam kemungkinan dan pengiraan kami tidak menunjukkan risiko impak sekurang-kurangnya 100 tahun akan datang,” kata Davide Farnocchia yang merupakan saintis dari Pusat Kajian Objek Berhampiran Bumi (CNEOS) di bawah NASA.










