Anak pelarian Syria tanpa masa depan - Utusan Malaysia

Anak pelarian Syria tanpa masa depan

Segala kos operasi di Sekolah Ulfah dan bangunan untuk sekolah perempuan di Aqrabat ditaja sepenuhya oleh penderma.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI kawasan utara Syria, sera­ngan roket dan udara daripada tentera rejim Bashar al Assad serta letupan bom kereta oleh kumpulan pengganas Kur­dish, YPG dan persengketaan sesama kumpulan bertelagah masih menjadi ancaman kepada pergerakan petugas kemanusiaan kerana ia boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira masa.

Atas faktor berkenaan, aspek keselamatan menjadi keutamaan dan sebarang pergerakan pada waktu malam, tidak akan dibuat kerana ia menjadi begitu berisiko.

Begitu juga dengan keberadaan di kawasan terbuka yang menjadi tumpuan orang awam, ia sama sekali dielak kerana premis seperti pasar, kedai serba guna dan kaki lima adalah sasaran utama sera­ngan bom menggunakan peranti atau IED.

Sebagai langkah keselamatan juga, semua kenderaan bermotor seperti kereta dan van tidak dibenarkan diletak berhampiran masjid ketika solat Jumaat.

Pengalaman itu saya alami sendiri ketika menunai solat di Masjid Omar al Khattab di Al Bab, kawasan yang berada di bawah pengaruh Turki.

Kenderaan yang kami naiki, yang dipandu Abu Qusay dari Ulfah Human Relief, rakan kerjasama Syria Care, telah diletakkan di kawasan sekitar 50 meter dari masjid yang dika­wal anggota keselamatan dan dinasihat supaya tidak membawa sebarang beg bersama.

Solat Jumaat pada 5 Mac lalu berjalan lancar tanpa ada sebarang gangguan dan ralit sungguh mende­ngar khutbah yang kemudian disusuli sembah­yang. Terasa seperti zaman-zaman sebelum Covid-19 menjadi wabak kerana semua jemaah duduk rapat-rapat.

Dalam keadaan sebegini, tawakal kena kuat dan berse­rah sepenuhnya kepada Allah semoga dijauhi dari dijangkiti virus yang telah membunuh lebih 2.3 juta umat manusia sejak setahun lalu.

Seperti yang diarahkan, semua petugas misi kemanusiaan Syria Care mematuhi semua garis panduan, sama se­perti di Malaysia tetapi untuk pematuhannya di sini terpaksa disesuaikan de­ngan persekitaran bagi mengelak sebarang salah faham dan disalah erti yang boleh me­nimbulkan sebarang kekalutan dengan penduduk tempatan.

Sebelum memasuki ruang solat, cecair pembasmi kuman ada disediakan di mana-mana, poster mengenai penjarakan sosial juga tertera di dinding dan tiang, tetapi mereka di utara Syria tidak begitu serius mengenainya kerana hidup mereka sebelum ini sudah cukup menderita.

“Selamat datang semula ke Syria, di sini tiada korona yang ada Bashar al Assad”, kata Abu Yahya ketika kami bertemu di Al Bab. Sejak Mac 2020, cabaran yang terpaksa dihadapi agensi kemanusiaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di utara Syria bukan lagi akibat peperangan semata-mata.

Selepas 10 tahun, ia kini terbahagi kepada dua, iaitu menangani pandemik yang mula menular sejak Jun tahun lalu.

Tempoh satu dekad menjadi satu jangka masa yang panjang dan dengan keadaan sekarang, satu generasi baru Syria yang dilahirkan hanya terdedah dengan perang sepanjang hidup mereka.

Dalam satu kaji selidik yang dibuat Save The Children ke atas lebih 1,900 anak-anak pelarian di utara Syria, Jordan, Lubnan, Turki dan Belanda, 86 peratus memberi maklum balas yang mereka tidak nampak masa depan di negara sendiri. Satu pertiga lagi memberi respon lebih rela untuk tinggal di negara asing.

“Apabila tiba di Darul Huda, sudah dua tahun saya tidak ke sekolah kerana keadaan susah dan korona” kata Mahmoud Saqa al Hussein kepada saya ketika ditemui di Gazientep.

Dia yang berasal dari Aleppo, datang ke Turki ketika berusia empat tahun dan sebelum ini menyangka ia adalah negaranya.

“Sama ada di dalam atau di luar Syria, kanak-kanak yang terjejas dengan konflik masih bertarung untuk merasakan seperti berada di rumah mereka.

“Perang 10 tahun ini telah mengambil zaman kanak-kanak dan dunia tidak boleh membiarkan masa depan mereka dirompak,” kata Je­remy Stoner, Pengarah Wilayah Save The Children bagi Eropah Timur dan Asia Barat.

Dalam konteks ini, ia satu cabaran besar kepada semua pihak yang terbabit dengan kerja-kerja kemanusiaan di utara Syria.

Namun, usaha mendapatkan penderma bagi menaja pendi­dikan anak-anak ini agak perlahan berbanding dengan kempen-kempen lain dan ditambah dengan keadaan sekarang, ia menjadi satu lagi cabaran besar kerana berbentuk jangka panjang. Melalui sumbangan orang ramai melalui Tabung Pendidikan Syria Care, lebih 500 anak-anak pelarian Syria mendapat pendidikan secara percuma di empat buah sekolah.

Darul Huda, di Gazientep, Turki, Sekolah Ulfah Lelaki dan Perempuan di Aqrabat dan Maaahad Tahfiz Abu Huzaifah an Nu’man di Adnaniyah, uta­ra Syria beroperasi sepenuh­nya melalui ihsan penderma.

Keperluan mereka tidak pernah cukup, tetapi kita perlu istiqamah untuk memberi peluang hidup yang lebih baik kepada mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya