Covid-19: Dos pertama vaksin berkesan kurangkan jangkitan - Utusan Malaysia

Covid-19: Dos pertama vaksin berkesan kurangkan jangkitan

UNITED KINGDOM (UK) merupakan negara pertama yang memulakan proses vaksinasi secara besar-besaran pada Disember tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Data dari dua kajian berasingan yang disiarkan di England dan Scotland menunjukkan dos pertama suntikan vaksin Covid-19 berkesan dalam mengurangkan penularan penyakit serta jumlah pesakit dimasukkan ke hospital.

Analisis dari Agensi Kesihatan Awam England (PHE) mendedahkan vaksin dihasilkan oleh Pfizer-BioNTech mengurangkan risiko jangkitan sehingga lebih 70 peratus selepas menerima dos pertama.   

Risiko itu berkurangan kepada 85 peratus selepas dos kedua suntikan vaksin. 

“Secara keseluruhannya, kami melihat kesan yang sangat efektif dalam mengurangkan sebarang jangkitan, asymptomatic (tidak bergejala) dan symptomatic (bergejala),” kata Pengarah respons strategik PHE, Susan Hopkins dalam satu taklimat media.  

Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock dalam satu kenyataan di laman media sosial, menyambut baik perkembangan itu dan menyifatkannya sebagai berita baik.

“Hasil kajian itu menunjukkan vaksin tersebut berkesan dan mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa,” katanya.

Kajian agensi kesihatan awam berasaskan data sebenar dunia juga menunjukkan individu yang sudah menerima vaksin dan kemudian dijangkiti wabak itu kurang berisiko untuk meninggal dunia atau dimasukkan ke hospital. 

Berdasarkan analisis tersebut, kemasukan ke hospital dan kematian akibat virus itu menurun sehingga lebih 75 peratus dalam kalangan individu yang menerima satu dos vaksin Pfizer-BioNTech.

United Kingdom (UK) merupakan antara negara paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan merekodkan hampir 121,000 kes kematian, berdasarkan data dari Universiti Johns Hopkins.

UK juga merupakan negara pertama yang memulakan program vaksinasi secara besar-besaran pada Disember tahun lalu dan lebih 17 juta penduduk sudah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

“Kami akan melihat lebih banyak data dalam beberapa minggu dan bulan akan datang tetapi kita harus didorong dengan penemuan awal ini,” kata Ketua Jabatan Imunisasi di PHE, Dr. Mary Ramsay. 

 

Bukti nasional

Pada masa sama, satu kajian dijalankan di Scotland menunjukkan vaksinasi menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech dan Oxford-AstraZeneca menjurus kepada penurunan jumlah individu dimasukkan ke hospital selepas dos pertama.

Kajian itu yang diketuai oleh Universiti Edinburgh, mendapati bahawa pada minggu keempat selepas menerima dos pertama Pfizer, jumlah kemasukan pesakit ke hospital akibat Covid-19 berkurangan sehingga 85 peratus.

Vaksin Oxford-AstraZeneca dilaporkan mengurangkan risiko yang sama sehingga 94 peratus.

“Hasil ini amat memberangsangkan dan memberi kami harapan besar untuk bersikap optimis untuk masa depan.

“Kami kini mempunyai bukti nasional bahawa vaksinasi memberi perlindungan dan mencegah kemasukan pesakit ke hospital akibat Covid-19,” kata Prof Aziz Sheikh yang mengetuai kajian itu dalam kenyataan.

Tambah beliau, program vaksinasi dos pertama di peringkat global perlu dipercepatkan bagi menangani pandemik. 

 

Data boleh dipercayai

Projek itu yang menggunakan data pesakit untuk mengesan penularan pandemik dan program vaksinasi pada masa sebenar (real-time) mengkaji set data membabitkan keseluruhan 5.4 juta penduduk Scotland antara 8 Disember lalu hingga 15 Februari tahun ini.

Menurut pasukan pakar penyelidik, penemuan tersebut boleh diguna pakai di negara lain yang menggunakan vaksin Pfizer dan Oxford-AstraZeneca. 

Presiden British Society for Immunology, Arne Akbar berkata, data itu melaporkan keputusan yang amat menjanjikan.

“Meskipun terdapat beberapa perbezaan dalam tahap keberkesanan antara kumpulan umur, pengurangan kemasukan ke hospital bagi warga tua adalah sangat tinggi,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.