fbpx

6 Mac 2021, 2:17 pm

  TERKINI

Larry King hos 50,000 rancangan

LARRY King pernah mengendalikan sebanyak 50,000 rancangan temubual dengan pemimpin dunia, bintang sukan dan artis Hollywood sepanjang enam dekad berkecimpung dalam bidang pengacaraan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Pengacara televisyen terkenal, Larry King, 87, pernah mengendalikan sebanyak 50,000 rancangan temubual dengan pemimpin dunia, bintang sukan dan artis Hollywood sepanjang enam dekad berkecimpung dalam bidang pengacaraan. 

Daily Mail melaporkan, usia bukan halangan buat dirinya yang masih mengacarakan rancangan temu bual setiap minggu iaitu Politicking with Larry King sehingga legenda bidang pengacaraan itu menemui ajal akibat virus Covid-19. 

Syarikat produksi miliknya, Media Ora menyifatkan selama 63 tahun menerusi pelbagai platform di radio, televisyen dan digital dengan pelbagai rancangan temu bual, anugerah serta pengiktirafan global membuktikan keunikan dan bakat luar biasa beliau sebagai ikon penyiaran. 

King disahkan mati pagi semalam selepas bertarung dengan virus tersebut selama tiga minggu di Pusat Perubatan Sinai, Los Angeles. 

Berita kematian itu dimaklumkan oleh Media Ora dan punca sebenar kematian tidak diumumkan. 

Di samping faktor sudah lanjut usia dan keadaan kesihatan yang lemah, King turut menderita beberapa penyakit lain termasuk sakit jantung, kanser prostat dan paru-paru, strok dan diabetes. 

King pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 4 Januari lalu di tempat sama. 

Mendiang dipercayai mendapat jangkitan wabak itu daripada seorang petugas kesihatan yang melawatnya semasa di rumah kerana salah seorang anak lelakinya turut disahkan positif Covid-19. 

King pernah berkahwin sebanyak lapan kali dan mempunyai lima anak dan sembilan cucu serta empat cicit.