Covid-19 rentap kemeriahan Krismas - Utusan Malaysia

Covid-19 rentap kemeriahan Krismas

PENDUDUK London dan timur England bakal menyambut Krismas dalam keadaan perintah berkurung selepas Britain mengumumkan perkara itu kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Jutaan penduduk di England dan Itali bakal meraikan perayaan Krismas dalam suasana sedih apabila kerajaan masing-masing mengumumkan perintah sekatan Covid-19 baharu yang lebih ketat.

Eropah menjadi rantau pertama di dunia yang melepasi 500,000 kematian akibat Covid-19 sejak pandemik itu bermula setahun lalu, menyaksikan lebih 1.6 juta orang di seluruh dunia maut dan ekonomi global pincang.

Di England, penduduknya diberi kelonggaran selama lima hari untuk menyambut Krismas, namun, keadaan sedikit berbeza untuk masyarakat di London dan timur England.

Hal ini kerana, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengumumkan penduduk di kedua-dua kawasan tersebut diarahkan supaya ‘duduk di rumah’ sepanjang Krismas kerana data awal menunjukkan terdapat risiko jangkitan baharu setinggi 70 peratus.

Katanya, sekatan ‘peringkat keempat’ itu bertujuan memperlahankan jangkitan Covid-19 di London dan timur England yang sehingga kini masih belum dapat dikawal sepenuhnya.

Langkah itu menyaksikan kira-kira satu per tiga populasi England tidak dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri atau berjumpa dengan keluarga untuk meraikan Krismas.

Johnson dilihat melakukan ‘pusingan U’ selepas menyifatkan tindakan membatalkan Krismas dan tidak boleh berjumpa dengan keluarga adalah keputusan yang ‘tidak berperikemanusiaan’.

“Dengan hati yang sangat berat, saya ingin umumkan bahawa penduduk di London dan tenggara England tidak akan dapat meraikan Krismas pada tahun ini susulan peningkatan risiko jangkitan yang sangat tinggi,” katanya.

Penduduk di kawasan terlibat akan dikenakan perintah berkurung sehingga 30 Disember, sekali gus ‘menghancurkan harapan’ rakyat untuk berkumpul bersama keluarga.

Selain itu, premis perniagaan bukan keperluan seperti gim, panggung wayang, kasino, salon dan bar akan ditutup di London serta beberapa kawasan lain termasuk Kent, Buckinghamshire dan Berkshire.

Britain dilaporkan sebanyak 27,052 kes baharu Covid-19 semalam dan 489 kematian.

 

Kumpulan peniaga bimbang

Kebanyakan kumpulan perniagaan melahirkan kebimbangann mengenai sekatan baharu Covid-19 di Britain dengan Gabungan Industri Britain (CBI) menyifatkan pengumuman Johnson ‘membuatkan mereka jatuh terduduk’.

Pengarah polisi CBI United Kingdom (UK), Mathhew Fell berkata, sekatan tersebut hanya memburukkan lagi keadaan yang dialami kebanyakan peniaga ketika ini.

Selain itu, keadaan dijangka bertambah buruk buat golongan peniaga selepas Britain bakal keluar dari Kesatuan Eropah dalam tempoh 12 hari lagi.

Sehubungan itu Konsortium Peruncitan Britain menggesa agar kerajaan negara ini menawarkan sokongan kewangan bagi membantu golongan peniaga.

 

Penduduk protes

Pengumuman Johnson mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk di sini menyaksikan orang ramai berhimpun dan melaungkan slogan menolak perintah berkurung tersebut.

Berikutan itu, polis ditempatkan di beberapa jalan utama untuk menyuraikan keadaan.

 

Itali perketat sekatan

Dalam pada itu, Itali turut memperketatkan sekatan Covid-19 sehingga 6 Januari 2021, menyaksikan isi rumah mempunyai had untuk keluar setiap hari, premis perniagaan bukan penting termasuk bar dan restoran ditutup serta perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya