fbpx

SpaceX hantar empat angkasawan ke ISS 

ROKET SpaceX Falcon 9 berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, Amerika Syarikat. - AFP

WASHINGTON: Kapal angkasa Crew Dragon ‘Resilience’ yang dibangunkan oleh SpaceX buat pertama kalinya berjaya berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan membawa empat angkawasan hari ini.

Tiga rakyat Amerika Syarikat (AS), Michael Hopkins, Victor Glover and Shannon Walker serta rakyat Jepun, Soichi Noguchi berlepas pada pukul 7.27 malam waktu tempatan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida sekali gus menamatkan kebergantungan industri angkasa lepas terhadap roket buatan Rusia iaitu Soyuz.

Presiden AS, Joe Biden menerusi ciapan Twitternya menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti kekuatan sains dan hasil yang dapat dicapai dengan memanfaatkan inovasi serta kepintaran.

Kapsul roket itu berjaya dipisahkan daripada roket induk Falcon 9 dan menurut ahli pasukan SpaceX yang berhubung melalui radio, mereka berjaya sampai ke ‘penyisipan orbit nominal’ yang bermaksud kapsul kini berada di lintasan tepat untuk mencapai ISS.

Anak kapal akan berlabuh di destinasi mereka sekitar pukul 11 malam waktu tempatan hari ini dan bergabung dengan dua rakyat Rusia serta seorang warga AS di dalam stesen dan tinggal selama enam bulan.

Mei lalu, SpaceX menyelesaikan misi demonstrasi yang berupaya membawa angkasawan ke ISS dan pulang dengan selamat sekali gus menunjukkan satu perkembangan penting yang membolehkan AS memulakan perjalanan ke stesen angkasa dengan kekuatannya sekali lagi.

Crew Dragon itu menjadi kapal angkasa pertama yang diiktiraf oleh Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sejak Space Shuttle dibangunkan 40 tahun lalu. 

NASA beralih ke SpaceX dan Boeing selepas menamatkan program Space Shuttle pada 2011, yang gagal dalam objektif utamanya iaitu untuk menjadikan perjalanan ruang angkasa selamat. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN