JAKARTA: Seorang kanak-kanak perempuan terkena peluru sesat ketika pihak polis melakukan serbuan kes dadah di Kampung Tanjung Agung Utara, Sumatera Selatan, Sabtu lalu.
Lapor Suara.co, mangsa ditembak oleh penjenayah bernama Andi, 35, akibat peluru sesat yang mengenai bahagian kanan dadanya.
Mangsa bagaimanapun dilaporkan selamat dan menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Musi Banyuasin, Erlin Tangjaya berkata, semasa penahanan itu, suspek yang dikehendaki polis itu cuba menyerang menggunakan sebilah golok dan senjata api.
“Pasukan polis menyerbu rumah suspek dan dia muncul dengan memegang senjata api di tangan kanannya dengan sebilah golok di tangan kiri,” katanya.
Suspek kemudian melepaskan empat das tembakan tetapi kesemuanya gagal mengenai pihak polis sebaliknya salah satu peluru itu terkena kanak-kanak tersebut.
Polis akhirnya menembak suspek disebabkan situasi berbahaya itu dan dia kemudiannya mati semasa dibawa ke hospital.
“Kami sudah serahkan jenazah suspek dan keluarganya menuntut di hospital untuk dikebumikan,” katanya.
Menurutnya, suspek sering terlibat dengan jenayah narkotik di kampung tersebut dan menjadi sasaran pihak polis, namun, berjaya meloloskan diri walaupun beberapa kali serbuan dilakukan sebelum ini.
Hasil serbuan itu, polis merampas enam paket canabis seberat 614 gram, sepucuk senjata api, dua butir peluru, sembilan butir peluru 38 milimiter (mm), lapan peluru 9 mm, dua tong berisi peluru dan satu senjata tajam.









