Pfizer bangun vaksin Covid-19 versi serbuk - Utusan Malaysia

Pfizer bangun vaksin Covid-19 versi serbuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Syarikat farmaseutikal, Pfizer dalam proses membangunkan vaksin Covid-19 baharu iaitu dalam bentuk serbuk agar dapat menyelesaikan masalah penyimpanan vaksin jenis cecair yang harus disimpan pada suhu sejuk.     

Lapor Daily Mail, Ketua Pegawai Saintifik Pfizer, Mikael Dolsten memberitahu kepada Business Insider bahawa versi kedua vaksin sudah dirancangkan dan akan disediakan pada tahun depan.

Sebelum ini, Pfizer memaklumkan vaksin Covid-19 yang dihasilkan bersama firma bioteknologi Jerman, BioNTech berkesan sebanyak 90 peratus untuk menangani jangkitan virus itu dan syarikatnya kini menanti data keselamatan yang dijangka diterima seawal minggu depan bagi memohon kebenaran untuk penggunaan kecemasan.     

Namun, di sebalik penemuan itu, terdapat beberapa kekangan dengan versi pertama vaksin Covid-19 dalam bentuk cecair iaitu ia perlu disimpan pada suhu sejuk iaitu -70 darjah Celsius.

Malah, beberapa hospital terkemuka di negara ini juga tidak mempunyai tempat penyimpanan vaksin yang sesuai.  

Menurut Dolsten, Pzifer telah mula merancang vaksin generasi kedua itu dengan menghasilkannya dalam bentuk serbuk yang akan menyelesaikan masalah tersebut.

Vaksin jenis serbuk yang dikenali sebagai formulasi lyophilized, boleh dibentuk semula sebelum suntikan atau kadang-kala diberikan melalui penyedutan atau vaksinasi intranasal.

“Kami sedang memikirkan beberapa kemungkinan untuk vaksin generasi akan datang. 

“Bagi jangkitan Covid-19, saya rasa kita mampu melancarkan vaksin dalam bentuk serbuk pada tahun depan yang hanya untuk penyejukan. Ia akan memudahkan semua,” katanya. 

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara lanjut paras suhu yang diperlukan bagi penyimpanan vaksin jenis serbuk itu.   

Menurut laporan, vaksin dalam bentuk serbuk hanya memerlukan tahap suhu sejuk yang biasa berbanding disimpan dalam keadaan suhu beku. 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN