JAKARTA: Ahli Pesuruhjaya Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Dave Laksono menggesa pihak kerajaan memanggil pulang Duta Besar Indonesia ke Perancis sekiranya presiden negara itu, Emmanuel Macron masih mengeluarkan kenyataan provokasi yang menimbulkan kemarahan orang Islam.
“Sekiranya Macron masih mengulangi perkara sama, kita merancang untuk memanggil pulang Duta Indonesia ke Perancis dan Duta Perancis di sini dihantar ke negara asalnya,” katanya.
Lapor CNN Indonesia, Dave berpandangan tindakan menghantar pulang Duta dari Indonesia atau Perancis adalah langkah yang tegas.
Menurutnya, langkah itu juga boleh merosakkan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua negara tersebut.
“Salah satu kesannya terhadap kerjasama ekonomi dengan Indonesia, ada syarikat yang akan ditutup dan membuang pekerja, adakah kita sudah bersedia? Tidak bermaksud kita lemah tetapi kita perlu bersedia dengan situasi A, B atau C,” ujarnya.
Sebelum ini, Kepemimpinan Majlis Ulama Indonesia (MUI), Anwar Abbas meminta kerajaan Indonesia memberi amaran kepada Perancis dan memanggil pulang duta negara ini ke Perancis sehingga Macron membuat permohonan maaf kepada orang Islam.
Katanya, penduduk Islam Indonesia bersedia memboikot produk Perancis sekiranya Macron terus memperlekeh agama Islam.
Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang pelajar kerana membawa pistol mainan semasa demonstrasi menentang Macron berdekatan Kedutaan Perancis di Jakarta, semalam.
“Objek itu hanyalah pistol mainan tetapi masih tidak sesuai dibawa semasa situasi seperti ini,” kata Ketua Polis Jakarta, Heru Novianto.
Polis turut menahan 10 pelajar berumur 17 tahun yang terlibat dalam protes yang dihadiri sekitar 1,500 orang itu.










