Negara miskin bagai ‘telur di hujung tanduk’ - Utusan Malaysia

Negara miskin bagai ‘telur di hujung tanduk’

INISIATIF Penangguhan Perkhidmatan Hutang (DSSI) tidak menjamin negara miskin dan membangun dapat keluar dari beban hutang yang tinggi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Negara anggota kumpulan 20 (G20) berjanji untuk menangani masalah hutang dalam kalangan negara miskin dan membangun yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Namun, kumpulan 20 negara terkaya itu gagal menyuarakan sebarang tindakan jelas sehingga beberapa pakar memberi amaran mengenai krisis lebih besar bakal berlaku dalam masa terdekat. 

Barisan pemimpin G20 juga beberapa kali mengulangi pendirian mereka mengenai moratarium yang di persetujui pada April tahun ini dan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.

Kemudahan yang diberi nama Inisiatif Penangguhan Perkhidmatan Hutang (DSSI) itu boleh membantu negara miskin untuk menangguh bayaran hutang dan menumpukan sumber dana yang ada untuk menangani pandemik Covid-19.

Ketika ini, sebanyak 46 daripada 73 negara yang layak mendapat manfaat daripada DSSI yang berjumlah AS$5.7 bilion (RM23.3 bilion).

Meskipun Menteri Kewangan Arab Saudi, Mohammed al-Jadaan menyifatkan usaha itu sebagai kejayaan besar, isu berkenaan masih dianggap kecil berbanding jumlah AS$11 trilion (RM45 trilion) yang dibelanjakan oleh negara G20 untuk menangani kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19. 

“G20 mengemukakan pelan pengurusan hutang yang pantas untuk membantu negara miskin serta membangun pada April lalu,  namun kini, kumpulan negara terkaya itu tidak memberi sebarang langkah konkrit untuk mencapai kaedah penyelesaian jangka panjang,” kata jurucakap organisasi Oxfam Perancis, Louis-Nicolas Jandeaux.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berharap agar inisiatif DSSI dapat dilanjutkan sehingga akhir tahun depan namun negara anggota G20 memberitahu bahawa barisan menteri luar akan menilai semula cadangan itu pada musim bunga akan datang.

Meskipun sedar bahawa DSSI sahaja tidak mencukupi untuk membantu beberapa negara, G20 bersetuju mewujudkan ‘kerangka kerjasama’ mengenai lanjutan penstrukturan semula hutang bagi negara terlibat.

Kerangka itu dianggap ‘bersejarah’ kerana buat pertama kalinya membabitkan pemiutang swasta dan China yang menyumbang sebanyak 63 peratus daripada semua pinjaman diberikan oleh negara G20 pada akhir 2019.

“Namun, kerangka itu dilihat masih kurang berkesan dalam membantu negara miskin serta membangun berdepan dengan beban hutang,” ujar Jandeaux.

Kebimbangan semakin meningkat tentang krisis hutang dalam kalangan negara-negara miskin dan membangun boleh menghambat usaha serta program vaksinasi rakyat. 

Dalam pada itu, Rangkaian Eropah mengenai Hutang dan Pembangunan pula menyifatkan pelan DSSI seolah-olah tidak munasabah. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.