JAKARTA: Agensi Penyiasatan Jenayah Polis Indonesia (Bareskrim) memaklumkan Ketua Maybank cawangan Cipulir di sini disyaki terlibat dalam kes kehilangan duit berjumlah 20 bilion rupiah (RM5.7 juta) milik atlet e-sukan, Winda Lunardi dan ibunya, Floleta.
Kes itu bermula selepas seorang wartawan, Herman Lunardi yang juga bapa kepada Winda membuat laporan polis pada 8 Mei lalu.
Pengarah Jenayah Ekonomi di Baresekrim, Helmy Santika berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan suspek dikenal pasti sebagai ketua Maybank cawangan Cipulir.
Katanya, suspek kini ditahan reman oleh di pusat tahanan daerah Tangerang dan dia berdepan dengan hukuman penjara selama 20 tahun jika didapati bersalah.
“Ketika ini, polis masih meneliti segala butiran yang berkaitan dengan kes tersebut, termasuk nilai aset daripada jumlah duit berkenaan.
“Pasukan penyiasat juga sudah menyita sejumlah aset milik suspek. Kita akan maklum hasil siasatan selepas semuanya selesai,” katanya seperti yang dilapor CNN Indonesia.
Terdahulu, Winda memberitahu duit simpanannya hilang sejak Februari lalu.
Dia hanya menyedari perkara itu ketika mahu mengeluarkan duit bersama ibunya.
“Kami sudah menyimpan duit sejak lima tahun lalu dan ketika saya mahu keluarkan wang, saya sedari bahawa jumlah simpanan sudah berkurang,” ujarnya.
Sementara itu, Maybank Indonesia sehingga kini masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung kes tersebut.









