fbpx

Daging beku New Zealand dicemari Covid-19?

NEW ZEALAND nafi produk daging beku yang dihasilkan oleh negara itu dicemari virus Covid-19. - AFP

WELLINGTON: New Zealand menegaskan pihaknya tidak diberi sebarang makluman berhubung produk daging lembu beku yang dieksport ke China dicemari dengan koronavirus.

Lapor Reuters, pihak berkuasa tempatan di bandar Jinan, China semalam memaklumkan mereka menemukan virus Covid-19 pada daging lembu serta bungkusan yang diimport dari Brazil, Bolivia dan New Zealand.

Selain itu, dua lagi wilayah di China turut menemukan virus tersebut pada bungkusan daging khinzir yang diimport dari Argentina.

Kementerian Hal Ehwal Luar New Zealand menerusi satu kenyataan memberitahu negara ini tidak menerima sebarang makluman rasmi daripada pihak berkuasa China.

“Pihak berkuasa negara ini sedang menyiasat berhubung kesahihan laporan tersebut,” jelas kenyataan berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan Jinan di wilayah Shandong memaklumkan kesemua produk yang terjejas diimport oleh Guotai International Group dan Shanghai Zhongli Development Trade.

Katanya, kesemua produk tersebut memasuki China menerusi beberapa pelabuhan di Shanghai.

Dalam pada itu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyatakan daging beku dari negara ini tidak dicemari dengan virus tersebut.

“Kami dimaklumkan bahawa produk daging yang terlibat adalah dari Argentina,” ujarnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN