MOSCOW: Rusia menegaskan bahawa kerajaan negara ini tidak akan membenarkan mana-mana penerbitan media berhubung anti-Islam, terutamanya melibatkan karikatur menghina agama tersebut.
Lapor Anadolu News, jurucakap kerajaan Rusia, Dmitry Peskov berkata, penerbitan sebarang bahan media berkaitan anti-Islam adalah ‘mustahil untuk dilakukan’ di negara ini.
“Sebarang bahan penerbitan yang menghina agama termasuk Islam tidak seharusnya dibenarkan kerana kebebasan beragama adalah hak semua orang dan perkara itu tidak boleh dipertikaikan.
“Sebahagian daripada penduduk Rusia beragama Islam dengan anggaran 20 juta orang dan kami menghormati mereka sama seperti penduduk lain,” katanya.
Jelas Peskov, walaupun majoriti penduduk Rusia beragama Kristian, namun keadaan itu tidak membezakan hak serta layanan terhadap rakyat yang berlainan agama.
Peskov membuat kenyataan itu susulan majalah satira Perancis, Charlie Hebdo yang menyiarkan karikatur menghina agama Islam, termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Penerbitan karikatur pemimpin Turki itu menimbulkan kemarahan negara Islam di seluruh dunia sehingga tercetus kempen memboikot barangan keluaran Perancis.










