JAKARTA: Seorang ketua polis didakwa telah mengarahkan anggota bawahannya memalsukan maklumat dokumen perjalanan yang dikeluarkan bagi membantu suspek utama kes rasuah berpro l tinggi Bank Bali, Djoko Soegiarto Tjandra melakukan perjalanan dalam negara ketika menjadi buruan.
Lapor Jakarta Post, pendakwa raya dari Pejabat Peguam Negara membacakan pertuduhan terhadap bekas Ketua Biro Penyelarasan dan Penyeliaan Penyiasat Penjawat Awam di Unit Siasatan Jenayah (Bareskrim), Brigedier Jeneral Prasetyo Utomo dalam satu sesi pendengaran perbicaraan.
Pendakwa raya juga memaklumkan pegawai kanan tersebut telah mengarahkan anggota bawahannya untuk membakar dokumen perjalanan bagi menghapuskan bahan bukti yang mengaitkan suspek tersebut.
“Pada 3 Jun lalu, defendan mengarahkan seorang saksi, Dodi Jaya untuk mengeluarkan dokumen perjalanan ke Pontianak, Kalimantan Barat di pejabat defenden berkenaan,” kata pendakwa raya ketika membaca pertuduhan di Mahkamah Daerah Jakarta Timur seperti dipetik Kompas.com.
Berdasarkan kertas pertuduhan itu, Prasetyo mengarahkan Dodi mengubah beberapa maklumat dalam dokumen tersebut termasuk tujuan perjalanan ke Pontianak.
Dokumen tersebut pada awalnya bagi tujuan perjalanan perniagaan berkaitan projek perlombongan, didakwa telah diubah menjadi pemeriksaan langkah-langkah pencegahan Covid-19 di wilayah itu.
Malah, pegawai kanan itu didakwa kononnya mengubah kepala surat dokumen tersebut bagi menampakkan seolah-olah dikeluarkan secara rasmi oleh pejabatnya.
Berdasarkan beberapa laporan media mengenai dokumen perjalanan itu, Prasetyo didakwa telah mengarahkan dokumen tersebut dimusnahkan.
“Defendan bimbang mengenai laporan media dan mengarahkan Jhony Andijanto (saksi) untuk membakar surat-surat yang digunakan untuk membantu perjalanan Djoko,” jelas pendakwa raya.










