Paris: Perancis ketika ini berdepan dengan situasi yang disifatkan ‘amat rapuh’ susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 secara mendadak dan beberapa siri pembunuhan kejam melibatkan rakyat negara ini.
Setakat ini, Perancis merekodkan sebanyak 47,637 kes jangkitan Covid dengan 36,020 kematian di seluruh negara.
Situasi itu menyebabkan Presiden Emmanuel Macron mengumumkan perintah darurat di seluruh Perancis bermula semalam selama empat minggu sehingga 1 Disember ini.
Belum reda dengan isu Covid-19, Perancis digemparkan pula dengan beberapa kejadian pembunuhan kejam menyaksikan dua mangsa dipenggal kepala.
Insiden pertama melibatkan seorang guru sejarah, Samuel Paty apabila seorang lelaki memenggal kepalanya selepas dia menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW ketika mengajar dalam kelas pada 16 Oktober lalu.
Namun, Macron mempertahankan tindakan Paty yang menunjukkan karikatur Rasulullah sebagai kebebasan bersuara untuk ‘mengkritik agama lain’.
Tindakan beliau mencetuskan kemarahan pemimpin negara Islam di seluruh dunia termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Pertikaian itu juga secara tidak langsung mengheret Perancis ke dalam satu lagi masalah apabila negara-negara Islam melancarkan boikot barangan negara ini atas kelantangan Macron mengutuk agama Islam sebagai ‘agama bermasalah’.
Kelmarin, tiga orang diserang dengan pisau sehingga mati dan seorang daripadanya turut dipenggal kepala di sebuah gereja di Nice.
Mangsa kedua yang dipenggal itu merupakan seorang wanita berusia 60 tahun yang mayatnya ditemukan dalam gereja selepas serangan berlaku.
Media tempatan melaporkan, seorang lagi mangsa pembunuhan di gereja itu juga dikelar dengan mayatnya ditemukan di kawasan berhampiran premis berkenaan.
Mangsa terakhir merupakan seorang wanita rakyat Brazil, 44, yang sempat melarikan diri dari gereja tersebut ke restoran berdekatan, akhirnya meninggal dunia akibat luka parah.
Pihak berkuasa Perancis memaklumkan suspek serangan gereja tersebut merupakan seorang pemuda berusia 21 tahun berasal dari Tunisia yang dikenal pasti sebagai Brahim Aouissaoui.
Ketika kejadian, lelaki yang baru tiba dari Itali itu mengalami kecederaan parah selepas ditembak polis.
Dalam pada itu, Macron menegaskan negara ini akan berdiri teguh menentang pelampau agama dan tidak akan berkompromi dengan sebarang insiden keganasan.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan supaya kawalan keselamatan di Nice ditingkatkan dengan mengerahkan seramai 7,000 anggota tentera untuk berkawal berbanding 3,000 yang ditempatkan sebelum ini. – AFP










