IILINOIS: Dua beradik perempuan ditahan pihak berkuasa atas dakwaan cubaan membunuh selepas menikam seorang pengawal keselamatan sebanyak 27 kali hanya kerana disuruh memakai pelitup muka dan menyapu cecair pembasmi kuman.
CNN memetik Polis Chicago melaporkan, dua beradik tersebut memasuki sebuah kedai di sini dan bertengkar dengan mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di premis berkenaan.
Pejabat Peguam Negeri Cook County menyatakan pengawal keselamatan berusia 32 tahun itu meminta dua beradik tersebut memakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki premis.
Namun, dua beradik tersebut enggan mengikut arahan mangsa dan mereka mula bertengkar sehingga Jessica Hill, 21, mengeluarkan pisau dan menikam pengawal keselamatan itu di bahagian belakang, leher dan tangannya sebanyak 27 kali.
Adiknya, Jayla Hill, 18, pula didakwa menarik rambut mangsa ketika kakaknya menikam pengawal keselamatan tersebut.
Selepas insiden tersebut, pengawal keselamatan tersebut dikejarkan ke hospital dan kini keadaannya dilaporkan stabil.
Dua beradik itu turut dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan ringan dan mereka kini ditahan tanpa ikat jamin.
Kedua-duanya dijangka dihadapkan ke mahkamah pada 4 November ini.










