AS tuduh Iran masuk campur pilihan raya presiden - Utusan Malaysia

AS tuduh Iran masuk campur pilihan raya presiden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menuduh Iran cuba mengeksploitasi Pilihan Raya Presiden AS 2020 dengan menghantar emel yang bertujuan mempengaruhi pengundi dan mencetuskan kekecohan.

Lapor South China Morning Post, Pengarah Perisikan Kebangsaan AS, John Ratcliffe memaklumkan Iran juga didapati cuba menyamar menjadi sebuah kumpulan berhaluan kanan yang berpangkalan di negara ini iaitu Proud Boys.

Katanya, Iran bertanggungjawab menghantar semua emel kempen yang kononnya dilakukan oleh Proud Boys untuk sengaja mengganggu proses pilihan raya presiden negara ini, selain menyebarkan maklumat salah mengenai penipuan undian menerusi video.

“Kesemua data tersebut boleh digunakan oleh pihak luar untuk menyampaikan maklumat palsu kepada pengundi berdaftar dan mereka berharap keadaan itu boleh mencetuskan kekeliruan, kekecohan dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi AS.

“Kami sudah melihat emel yang dihantar Iran untuk mempengaruhi pengundi, mencetuskan kekecohan sosial dan menjejaskan imej Presiden Donald Trump. Anda mungkin akan menerima emel itu dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Namun, Ratcliffe tidak menjelaskan lebih lanjut berhubung emel yang dihantar kepada pengundi berdaftar menerusi ‘[email protected]’ dan memberi amaran bahawa ugutan ‘Undi Trump atau orang lain!’ sengaja direka untuk merosakkan imej Trump.

Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Chris Wray menegaskan bahawa kerajaan AS akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk negara luar yang cuba masuk campur pilihan raya negara ini.

Tambah beliau, infrastruktr pilihan raya negara ini masih bertahan dan keadaan itu akan diteruskan sehingga pilihan raya presiden berakhir.

Pada 2016, Rusia pernah dikaitkan dengan Pilihan Raya Presiden AS yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Donald Trump.

Iran pula dilaporkan tidak pernah masuk campur dalam urusan pilihan raya negara ini dan pakar keselamatan siber beranggapan perkara yang berlaku ketika ini mungkin didalangi pihak lain untuk kepentingan Teheran.

Dalam pada itu, Trump ketika berucap dalam perhimpunan di North Carolina berulang kali menegaskan bahawa Iran cuba menghalang beliau dipilih semula sebagai Presiden AS.

Trump turut berjanji bahawa sekiranya beliau memenangi pilihan raya kali ini, beliau akan mengadakan rundingan baharu dengan Iran berhubung program nuklear negara itu.

“Iran tidak mahu saya menang. China juga tidak mahu saya menang. Pihak pertama yang akan hubungi saya selepas saya menang adalah Iran dan negara itu akan mengajak AS melakukan rundingan baharu mengenai program nuklear dilakukan segera,” katanya.

Perhimpunan itu dibuat ketika pengundi Parti Demokratik di empat negeri ‘panas’ termasuk Florida dan Pennsylvania sudah menerima emel palsu tersebut yang mengandungi amaran berbunyi ‘Anda akan mengundi Trump pada pilihan raya kelak atau kami akan datang kepada anda’.

Operasi ‘mempengaruhi pengundi’ itu menggunakan alamat emel yang diperoleh daripada senarai pengundi setiap negeri yang mengandungi alamat kediaman, emel dan nombor telefon.

Kesemua alamat tersebut kemudiannya digunakan untuk menyebarkan emel terbabit, selain pihak penghantar mendakwa mereka boleh tahu siapa calon yang akan diundi pada 3 November ini.

Terdahulu, pihak berkuasa AS memberi amaran mengenai kewujudan operasi sedemikian memandangkan senarai pengundi berdaftar tidak sukar untuk diperoleh.

Pegawai keselamatan pilihan raya di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Christopher Krebs  menerusi Twitter memaklumkan bahawa kesemua emel yang bertujuan melemahkan keyakinan pengundi terhadap sistem pentadbiran negara sudah dijangka.

Sementara itu, The Washington Post melaporkan Trump merancang untuk memecat Wray selepas pilihan raya berakhir.

Jelas laporan tersebut, Trump menyalahkan Wray kerana tidak menyediakan maklumat penuh berhubung dakwaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden pada 2016.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya