JAKARTA: Individu ketiga terkaya di Indonesia, Tan Siok Tjien dilaporkan meninggal dunia pada usia 91 tahun pada minggu lalu dan sudah dikebumikan kelmarin.
Lapor Kompas.com, Siok Tjien merupakan isteri kepada mendiang Surya Wonowidjojo yang merupakan pengasas syarikat rokok terkenal, PT Gudang Garam yang berpangkalan di Kediri, Jawa Timur.
Indeks Hartawan Bloomberg melaporkan, harta kekayaan yang ditinggalkan Siok Tjien adalah sebanyak AS$5.96 bilion atau bersamaan 87.9 trilion rupiah (RM25 bilion).
Namun, nilai kekayaan Siok Tjien dilaporkan menurun sebanyak AS$1.86 bilion (RM7.7 bilion) atau 23.8 peratus sejak awal tahun ini.
Wanita itu juga tersenarai sebagai individu ke-369 paling kaya di dunia.
Siok Tjien menguasai pengeluaran rokok dengan ‘memegang’ satu per empat pasar tembakau Indonesia dan perusahaan itu terkenal dengan produk ‘rokok kretek’.
Pada 2019, Gudang Garam mempunyai kira-kira 32,000 pekerja dan menjana pendapatan sebanyak AS$7.8 bilion (RM32.4 bilion).
Siok Tjien dan anak-anaknya mewarisi Gudang Garam selepas suaminya meninggal dunia pada 1985.










