Biden dahului Trump dalam tinjauan pilihan raya presiden - Utusan Malaysia

Biden dahului Trump dalam tinjauan pilihan raya presiden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Hasil tinjauan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020 menunjukkan calon dari Parti Demokratik, Joe Biden mendahului Donald Trump dengan 54 peratus.

Biden yang memegang jawatan sebagai naib presiden ketika era pentadbiran Barack Obama dilihat mendahului carta sejak awal tahun ini berbanding Trump yang sedikit mendatar.

Setakat ini, Biden menguasai pengundi di Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin.

Ketiga-tiga negeri itu dimenangi Parti Republikan dalam pilihan raya presiden 2016 yang dimenangi Trump dengan margin kemenangan kurang dari satu peratus.

Selain itu, hasil tinjauan menunjukkan prestasi Biden lebih bagus dalam beberapa sesi debat berbanding Trump yang disifatkan hanya sekadar ‘cakap kosong’.

Tinjauan yang dilakukan oleh agensi berita CBS News menyaksikan 48 peratus penduduk AS menyokong usul yang disampaikan oleh Biden ketika berdebat, manakala Trump hanya merekodkan sokongan sebanyak 41 peratus.

Sebanyak hampir 70 peratus lagi pula beranggapan sesi debat kedua-dua pemimpin tersebut hanya membuatkan mereka rasa ‘menyampah’.

Tinjauan oleh CNN menunjukkan 53 peratus audien menyokong perutusan debat yang disampaikan oleh calon-calon dari Demokratik, manakala 39 peratus lagi memilih Trump dan gandingannya, Mike Pence.

Sementara itu, Trump dilihat ‘terus kalah’ apabila hanya 35 peratus penduduk di negara ini bersetuju dengan cara pentadbiran beliau menguruskan pandemik Covid-19.

Kebanyakan yang tidak bersetuju menegaskan bahawa Trump tidak serius mencegah penularan virus tersebut, selain suka memperlekehkan situasi sebenar yang sebenarnya makin teruk.

Berbeza dengan Biden yang lebih mengutamakan protokol kesihatan biarpun ketika berkempen dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial bersama penyokongnya. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN