MOSCOW: Seorang personaliti media sosial terkenal dari Rusia sanggup membakar kereta Mercedes-AMG G63 miliknya kerana sering mengalami kerosakan.
Menerusi video yang dirakam, Litvin dilihat menuangkan diesel dalam kereta Mercedesnya dan menyalakan api.
Lapor Odditycentral, Mikhail Litvin membeli kenderaan mewah itu yang berharga kira-kira AS$170,000 (RM706,514) pada Disember 2019.
Bagi sejumlah wang yang dibayar, mana-mana individu sudah tentu mengharapkan ketahanan dan prestasi enjin yang baik.
Namun, Litvin mendakwa kereta Mercedes miliknya benar-benar mempunyai masalah sejak kebelakangan ini.
Walaupun hanya pernah memandu kereta itu sejauh 15,000 kilometer (km), Litvin mendakwa dia sering membawa kenderaan itu ke bengkel sejak 10 bulan lalu.
Akibat kecewa kerana sering membaiki kereta itu dan agensi Mercedes pula enggan membantu, Litvin mengambil keputusan membakar kereta sehingga musnah sepenuhnya.
Media tempatan melaporkan, Litvin mendakwa dia sudah menghantar keretanya ke bengkel di bawah penyeliaan Mercedes sebanyak empat kali sejak membelinya.
Namun, Mercedes enggan menampung kos baik pulih dan hanya memulangkan kereta kepadanya tanpa membaiki kerosakan yang dialami.
Personaliti itu juga mendakwa pernah membawa kereta ke bengkel milik kawannya dan diberitahu bahawa keretanya menggunakan alat ganti tiruan berdasarkan pengeluaran produk tulen OEM pada servis sebelumnya.










