NEW ORLEANS: Dua anggota cedera polis cedera parah dengan seorang daripadanya ditembak pada muka apabila seorang penumpang beca melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis di French Quarter, di sini.
Lapor CNN, insiden itu berlaku tengah hari semalam ketika dua anggota polis tersebut melakukan rondaan di kawasan sekitar.
Jurucakap polis New Orleans, Shaun Ferguson memberitahu, kedua-dua anggota polis tersebut tidak mempunyai kaitan dengan suspek sebelum dia melepaskan tembakan ke arah kenderaan mereka.
“Dua anggota polis diserang hendap ketika melakukan rondaan. Seorang daripadanya cedera parah apabila tembakan tersebut mengenai mukanya. Anggota itu kini kritikal namun keadaannya stabil.
“Seorang lagi anggota mengalami cedera ringan dan kedua-duanya dibawa ke hospital selepas insiden itu berlaku,” katanya.
Suspek berjaya ditahan dan turut dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan dia dilihat berada di bawah pengaruh ubat-ubatan.
Sementara itu, Ferguson memaklumkan polis akan menyiasat insiden tersebut secara menyeluruh termasuk kaitan suspek dengan dua anggota polis berkenaan.










