London: Saintis memberi amaran terdapat 850,000 virus yang belum dikenal pasti pada burung serta haiwan mamalia seperti kelawar dan tikus dikhuatiri boleh menyerang manusia.
Lapor Daily Mail, dalam laporan terbaharu oleh pasukan antarabangsa yang terdiri daripada 22 pakar menberi amaran bahawa lebih banyak pandemik boleh berlaku sekiranya tiada tindakan diambil untuk melindungi hidupan liar.
Berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Badan Penasihat Mengenai Kepelbagaian Bio dan Perkhidmatan Ekosistem (IPBES), semua pihak perlu berganding bahu bagi mengelak kemunculan pelbagai penyakit zoonotik menerusi pendekatan kesihatan umum dan penghasilan vaksin baharu.
Pengerusi Bengkel Latihan IPBES, Peter Daszak berkata, tindakan mengekploitasi alam sekitar termasuk penebangan hutan, pertanian secara intensif dan pemerdagangan hidupan liar harus dihentikan segera.
Jelas beliau, tindakan itu hanya meningkatkan kontak rapat antara hidupan liar, ternakan dan orang ramai yang akhirnya boleh mencetuskan jangkitan virus dan menyebabkan pandemik.
“Antara langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kontak rapat antara manusia dengan hidupan liar termasuk mengenakan cukai pengeluaran daging dan ternakan, mengekang pemerdagangan haiwan terutamanya bagi spesies terancam dan usaha pemuliharaan yang lebih berkesan.
“Kesemua usaha itu mungkin menelan belanja sekitar AS$40 hingga AS$58 bilion (RM166 hingga RM241 bilion) setiap tahun,” katanya.
Namun, Daszak menegaskan bahawa kos tersebut adalah lebih rendah berbanding perbelanjaan yang perlu dikeluarkan untuk menangani pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.
Beliau berkata, pada Jun lalu, dunia menanggung kos sebesar AS$8 hingga AS$16 trilion (RM33 hingga RM67 trilion) untuk hal ehwal berkaitan wabak tersebut.










