'Kalau berani datanglah, saya akan lawan' - Qamar - Utusan Malaysia

‘Kalau berani datanglah, saya akan lawan’ – Qamar

QAMAR Gul (kanan) bersama adiknya yang berani melawan Taliban di Afghanistan. - AP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GHAZNI: Remaja perempuan Afghanistan yang menembak mati dua pejuang Taliban selepas ibu bapanya dibunuh, sedia berdepan dengan mana-mana pemberontak yang cuba menyerangnya.

Qamar Gul, 15, membunuh anggota militan itu ketika mereka menyerbu rumahnya di sebuah kampung di wilayah tengah Ghor, minggu lalu.

“Saya sudah tidak rasa takut malah sedia melawan mereka lagi,” kata Qamar kepada AFP dalam satu temu bual menerusi panggilan telefon.

Gambar memaparkan Qamar memegang senapang menjadi tular dalam laman media sosial sehingga rata-rata warganet memuji tindakan berani serta menggesa agar remaja itu ditempatkan di kawasan yang selamat.

Mengimbas kembali pada malam kejadian itu, Qamar berkata, anggota militan tersebut menyerbu rumahnya.

Kata Qamar, ketika itu dia bersama adiknya yang berusia 12 tahun sedang tidur apabila mendengar bunyi beberapa lelaki menolak pintu rumah mereka.   

“Ibu saya berlari untuk menghalang tetapi mereka sudah pun memecah pintu rumah. Mereka kemudian mengheret ibu dan ayah saya ke luar rumah dan menembak mereka beberapa kali. Saya menjadi amat takut.

“Tetapi tidak lama kemudian, saya menjadi amat marah dan mengambil senapang yang disimpan di rumah dan menembak mereka,” kata Qamar.

Qamar mendakwa adiknya turut membantu apabila salah seorang pemberontak yang dipercayai merupakan ketua kumpulan itu, cuba melepaskan tembakan balas.

“Adik saya mengambil senapang daripada saya dan menembaknya, pejuang itu kemudian melarikan diri dengan kecederaan dialami sebelum kembali kemudiannya,” katanya.

Ketika itu, beberapa penduduk kampung dan penyokong prokerajaan berjaya mengusir pejuang Taliban tersebut selepas lama berbalas tembakan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya