GERD: Pilih ‘neraka’ atau ‘syurga’? - Utusan Malaysia

GERD: Pilih ‘neraka’ atau ‘syurga’?

PEMBINAAN Grand Ethiopian Renaissance Dam (GERD) mencetuskan konflik antara Mesir, Ethiopia dan Sudan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh SHEILA RANI CHANDRASEKARAN
[email protected]

“JIKA bahagian Sungai Nil kami berkurangan satu titik, maka darah kami adalah alternatifnya.”

Keras amaran yang pernah dikeluarkan bekas Presiden Me­sir, Mohamed Morsi ketika mempertahankan hak Kaherah terhadap usaha belakang tabir menyekat Sungai Nil daripada mengalir ke Mesir.

Kenyataan itu merujuk projek pembinaan Grand Ethiopian Renaissance Dam (GERD) oleh kerajaan Ethiopia di wilayah Benishangul-Gumuz.

Malah Morsi memberi amaran rakyat Mesir tidak akan tunduk terhadap ancaman yang boleh menggugat keselamatan atau sumber kehidupan mereka. Benarlah jangkaan Morsi ketika itu, sememangnya ada agenda yang mahu mengancam Sungai Nil di Mesir.

GERD sejak awal lagi mencetuskan konflik Mesir dan Ethiopia. Sudan pula terperangkap di tengah-tengah dengan pelbagai pihak melahirkan kebimbangan tercetusnya perang Afrika.

Bagi Ethiopia, GERD de­ngan kos AS$4.2 bilion mampu menjana 6,000 megawatt elek­trik. Negara itu menga­lami ‘kelumpuhan’ elektrik dengan 65 peratus populasinya ‘bergelap’ ke­rana masalah itu. Apabila siap pembinaannya, GERD menjadi loji jana kuasa hidroelektrik terbesar di benua Afrika.

Menjawab kepada penegasan Morsi, Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed berkata: “Tiada kuasa yang dapat menghalang Ethiopia daripada meneruskan pembinaan GERD.”

International Crisis Group, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi amaran negara-negara terlibat bakal terjerumus ke kancah konflik.

Memetik penulisan pemerhati politik, Muhammad Mujahid Mohammad Fadzil, Ethiopia dan Mesir adalah dua negara Afrika yang paling ramai penduduk. Tulis beliau, jika bergaduh dua negara ini, seolah-olah mengun­dang pergaduhan besar dan mungkin diintai Barat.

Terbaharu, Mesir merayu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai GERD yang dikhuatiri memberi kesan kepada sumber bekalan air negara itu.

Langkah itu dibuat apabila ketegangan semakin memuncak selepas beberapa siri perbinca­ngan antara Mesir, Ethiopia dan Sudan menemukan jalan buntu.

Sudan menyuarakan hal sama, tidak mahu GERD ‘menjerumuskan’ Mesir dan Ethiopia ke kancah konflik berpanja­ngan, ibarat memilih antara ‘syurga’ dan ‘neraka’ buat Sungai Nil.

Menambahkan dakwaan berlakunya campur tangan Barat, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump atas jemputan Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi diminta menjadi ‘orang te­ngah’ rundingan diplomatik, namun masih gagal diselesaikan.

Baru-baru ini, media mela­porkan sistem takungan berhampiran GERD di Sungai Nil Biru mula dipenuhi air.

Sudan mendakwa paras air Sungai Nil menyusut malah menyelar sebarang tindakan unilate­ral dilakukan oleh mana-mana pihak. Bagaimanapun Ethiopia menafikannya.

Melihat kepada krisis itu, timbul persoalan adakah konflik Mesir dan Ethiopia bakal meletak­kan risiko ke atas berjuta-juta rakyatnya malah jika projek diteruskan, apa pula nasib Mesir?

Bagaimana pula kea­daan rakyat Ethiopia yang lama dibelenggu krisis elektrik?

Pada mata Mesir dan Sudan, GERD ‘mengganggu’ aliran Su­ngai Nil tetapi projek itu diperlukan Ethiopia demi rakyatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN