Dunia takut sekatan AS! – Tamim - Utusan Malaysia

Dunia takut sekatan AS! – Tamim

KONFLIK berpanjangan di Syria menghancurkan masa depan kanak-kanak sehingga mereka hidup bergelandangan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
HAMPIR 10 tahun Syria bergelut konflik dan perang saudara. Dianggarkan berbelas juta penduduknya hidup melarat selain menjadi pelarian di negara luar manakala ratusan ribu terbunuh.
Entah bila Syria akan menemukan jalan damai. Dua tahun atau lima tahun lagi? Penularan Covid-19 menambahkan kebimbangan terhadap derita Syria. Serangan bom berlaku di Damsyik ketika Syria mengadakan pilihan raya Parlimen hari ini.
Wartawan Utusan Malaysia, METRA SYAHRIL MOHAMED dan ADLINAHANI KHALIL serta jurugambar, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH menemu bual Charge d’Affaires Syria ke Malaysia, TAMIM MADANI bagi mendapatkan perkembangan terkini di Syria.

 

UTUSAN: Bagaimana keadaan Syria ketika ini? Wilayah atau kawasan manakah yang masih bergolak?
Keadaan di beberapa bandar utama termasuk Damsyik boleh dikatakan kembali normal dan rakyat menjalani kehidupan seperti biasa biarpun serba kekurangan.
Beberapa kawasan di bahagian barat laut Syria seperti Idlib masih dikuasai pemberontak, sekali gus menyaksikan insiden pertempuran dan pengeboman.
Di timur laut Syria, tentera Amerika Syarikat (AS) secara ‘aktif’ mencuri sumber minyak negara dan dianggarkan mereka mengambil bekalan sehingga AS$30 juta (RM128 juta) setiap hari untuk dijual kepada sejumlah syarikat milik Israel.

Apakah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) atau Liga Arab menyelesaikan konflik di Syria atau mereka sekadar Oh! I see (memerhati)?
Tidak keterlaluan rasanya jika saya cakap mereka tidak membuat apa-apa untuk membantu Syria. Malah ada beberapa anggota OIC sanggup menyalurkan dana kepada pemberontak.
Pada pandangan saya, ke­dua-dua organisasi itu tidak ber­asas dan kukuh untuk membela negara-negara Islam. Lihat isu Pa­lestin, apa yang sudah berlaku? Jika benar ke­dua-dua entiti itu mendukung wawasan yang diperjuangkan, pasti sudah lama Syria dibantu.
Saya lebih mengagumi ASEAN­ kerana organisasi itu memperjuangkan kepentingan negara anggota. Saya berharap suatu hari nanti OIC dan Liga Arab mencontohi ASEAN.

Campur tangan asing di Syria memburukkan keadaan. Negara mana yang menjadi penyokong untuk Syria bertahan dalam usaha menghapuskan pemberontak?
Banyak negara ingin bantu Syria namun mereka terikat de­ngan sekatan ekonomi yang dimomokkan kuasa besar se­perti AS. Mereka bimbang jika tolong Syria, AS akan kenakan sekatan ekonomi yang memberi kesan kepada pembangunan negara.
Setakat ini China, Iran dan Rusia setia menyokong menghulurkan bantuan kepada Syria.

Penularan Covid-19 membuatkan dunia sibuk menguruskan hal dalam negara masing-masing sehingga melupakan derita Syria. Panda­ngan tuan?
Dunia sudah melupakan Sy­ria kerana Co­vid-19. Kami buat semua perkara sendiri. Ramai yang hendak membantu tetapi akibat takut ‘ugutan’ AS, mereka mendiamkan diri. Di­sebabkan perkara itu, Syria­ tidak dibenarkan menerima bantuan kemanusiaan termasuk ubat-ubatan.

Program Makanan Sedunia (WFP) melaporkan Syria berdepan krisis kebuluran dengan harga makanan asas meningkat hampir 200 peratus. Bagaimana kerajaan menguruskan ‘bencana’ ini?
Harga asas makanan mening­kat tinggi namun tidaklah 200 peratus. Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan memberi subsidi kepada makanan asas termasuk gula, beras dan roti untuk rakyat. Ini memboleh­kan rakyat membeli makanan de­ngan harga murah. Biarpun sekatan ekonomi menyukarkan keadaan, kerajaan akan berjuang menjaga kebajikan rakyat.

Bila kita boleh saksikan Syria yang merdeka?
Sukar untuk menjawab soalan ini. Formulanya mudah, jika negara-negara Islam bersatu dan berhenti menyokong pemberontak, Syria akan merdeka. Selagi perkara itu tidak dilaksanakan, derita Syria akan berterusan.

Apa yang amat diperlukan Syria ketika ini untuk memba­ngunkan semula negara?
Bantuan kewa­ngan yang besar, namun kami memerlukan lebih daripada itu. Kami perlu mendapatkan balik sumber yang sudah dimusnahkan termasuk bekalan minyak mentah. Sebelum perang, Syria berpotensi dalam pelbagai bidang termasuk industri dan agrikultur.
Dunia pula perlu hentikan sekatan ekonomi kerana de­ngan cara itu, kami mampu bangkit semula dan mencapai kemerdekaan yang diimpikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN