Lelaki campak puluhan tikus ke lantai restoran McDonald's

Lelaki campak puluhan tikus ke lantai restoran McDonald’s

TANGKAP layar video menunjukkan puluhan ekor tikus dicampak ke lantai restoran McDonald's di Birmingham.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Polis Britain melancarkan siasatan untuk menjejaki aktivis yang melempar puluhan ekor tikus ke dalam sebuah premis McDonald’s di Birmingham.

Rakaman mengejutkan yang dikongsi di media sosial menunjukkan seorang lelaki membuka sebuah kotak berisi puluhan tikus yang dicat dengan warna bendera Palestin dan melepaskannya ke lantai restoran yang penuh sesak itu.

Tindakan itu menyebabkan beberapa pelanggan wanita yang sedang menunggu makanan di cawangan McDonald’s di kompleks riadah Star City menjerit ketakutan.

Rangkaian McDonald’s mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan cawangan berkenaan sudah dibuka semula selepas tikus-tikus itu dibuang dan seluruh premis disanitasi.

Video yang dirakam oleh pelanggan di dalam kedai menunjukkan kakitangan McDonald’s menggunakan kotak untuk mengalau tikus-tikus berkenaan keluar ke pintu automatik restoran berkenaan.

Bantahan itu adalah sebahagian daripada gesaan lebih meluas untuk memboikot rangkaian McDonald’s kerana menawarkan makanan percuma kepada tentera Pasukan Pertahan Israel (IDF) bersama Starbucks dan Disney yang didakwa memihak kepada Israel ketika konflik di Palestin berterusan.

Polis West Midlands mengumumkan akan melancarkan siasatan dan menahan penunjuk perasaan itu kerana mencetus kekacauan awam.

“Kami sedang menyiasat selepas puluhan ekor tikus hidup dicampak ke dalam sebuah restoran di luar Watson Road, Nechelles, kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin.

“Kami memahami kesusahan yang akan ditimbulkan dan ia tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan,” jelas polis dalam satu kenyataan di laman X.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya