Disleksia : Rujuk awal anak tidak membaca, menulis dan mengira

Rujuk awal jika anak tidak boleh membaca, menulis dan mengira

KANAK-kanak disleksia mempunyai peluang sama untuk berjaya dalam akademik jika mendapat sokongan dan strategi pembelajaran yang sesuai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Anak sudah masuk ke Tahun Satu tapi masih belum dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira, pastinya membuatkan ibu bapa risau tambahan pula apabila melihat rakan sebaya anak yang lain sudah menguasai kemahiran berkenaan ada kemunkinan menghidap disleksia.

Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan , di antara 448,113 murid Tahun Satu (usia tujuh tahun) bagi sesi akademik 2024/2025 yang disaring, seramai 122,062 murid Tahun Satu iaitu 27.24 peratus dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) selepas tiga bulan memasuki sekolah.

Walaupun puncanya boleh bersifat pelbagai faktor, dianggarkan sekitar 5 hingga 10 peratus mungkin mengalami Disleksia. Oleh itu, sekiranya seseorang kanak-kanak menunjukkan kesukaran dalam kemahiran 3M, terutamanya selepas mengikuti program intervensi di sekolah, rujukan awal kepada pakar pediatrik atau pengamal perubatan bertauliah adalah disarankan.

Pakar Pediatrik dan Pensyarah Perubatan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr. Lee Khai Yin berkata, Disleksia adalah kesukaran atau ketidakbolehan individu menguasai kemahiran membaca walaupun selepas menerima pendidikan yang mencukupi.

“Punca disleksia adalah perbezaan cara otak memproses maklumat. Ia adalah sebahagian daripada spektrum neurodiversiti dan merupakan bentuk masalah pembelajaran khusus (Specific Learning Disorder, SLD) yang paling biasa.

“Ciri-ciri Disleksia termasuk kesukaran mengenal pasti huruf dan suku kata, contoh: da à pa, pat à dat. Mereka juga sukar mengeja perkataan mudah, contohnya baju à batu, sama à sana. Kanak-kanak Disleksia juga bermasalah dalam membaca teks panjang, seperti tidak menghiraukan tanda baca, menambah atau meninggalkan perkataan dalam ayat, atau melangkau baris,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Katanya lagi, Disleksia juga boleh menjejaskan kemahiran matematik (dyscalculia) dan menulis (dysgraphia). Tanda-tanda kemahiran menulis adalah seperti keliru dengan huruf atau perkataan yang hampir serupa atau terbalik seperti ‘b’ dan ‘d’, ‘p’ dan ‘q’, ‘sama’ dan ‘masa’.

Kanak-kanak Disleksia juga akan mencampurkan huruf besar dengan huruf kecil. Sebagai contoh, bAJu, maKaN selain menulis tidak mengikut barisan. Mereka juga tidak berupaya menyalin dengan lengkap maklumat di papan hitam selain tulisan yang sukar dibaca.

“Adalah penting untuk memahami Disleksia adalah suatu keadaan berspektrum, merangkumi manifestasi ringan yang memerlukan bantuan jangka pendek, sehingga kesukaran pembelajaran yang teruk dan memerlukan bantuan yang ketara dan berpanjangan.

“Disleksia juga sering dikaitkan dengan komobiditi lain seperti dyspraxia (kesukaran dalam koordinasi dan perancangan motor) serta Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (Attention deficit hyperactive disorder, ADHD), “ katanya.

Kanak-kanak lelaki lebih ramai disleksia

Di Malaysia, dianggarkan sekitar 5 hingga 10 peratus kanak-kanak mengalami Disleksia. Kajian menunjukkan kanak-kanak lelaki lebih cenderung mengalami dDisleksia berbanding perempuan dengan nisbah 3:1.

Perbezaan ini mungkin disebabkan faktor genetik dan perbezaan perkembangan otak antara jantina. Namun, mengikut statistik semasa, hanya 20 peratus kanak-kanak dengan Disleksia yang dikenalpasti dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

Disleksia sering dikaitkan dengan faktor genetik. Kira-kira 30 hingga 60 peratus daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu atau bapa yang mengalami Disleksia atau masalah pembelajaran yang lain, berkemungkinan mewarisi Disleksia.

“ Kesedaran mengenai Disleksia masih rendah yang menyebabkan stigma serta kelewatan dalam mendapatkan intervensi awal. Oleh itu, pengesanan awal golongan yang berisiko tinggi dan intervensi segera adalah amat penting.

“Terdapat banyak sumber dalam internet untuk saringan kendiri Disleksia bagi kalangan kanak-kanak yang bersekolah. Namun, sebahagian besar ujian saringan ini dijalankan dalam bahasa Inggeris. Selain itu, alat saringan internet ini hanya berfungsi sebagai penapisan awal dan tidak boleh dianggap sebagai penilaian atau diagnosa rasmi,”katanya.

Katanya lagi ibu bapa juga boleh berunding dengan guru sekolah untuk menjalankan Instrumen Senarai Semak Disleksia (ISD), terutamanya jika anak mereka sedang mengikuti program intervensi kemahiran 3M.

Langkah seterusnya membawa anak untuk penilaian profesional. Ibu bapa boleh merujuk kepada pakar pediatrik, pakar psikologi pendidikan yang terlatih, atau organisasi tempatan seperti Persatuan Disleksia Malaysia atau National Organization for Dyslexia Malaysia (NOD).

Rawatan Disleksia

Dr. Lee berkata, Disleksia adalah keadaan seumur hidup. Bagaimanapun dengan pengesanan awal dan sokongan yang sesuai, individu yang menghidapi Disleksia boleh mengatasi cabarannya.

“Program Literasi Berstruktur adalah salah satu pendekatan berasaskan bukti kaedah Orton Gillingham yang menekankan penggunaan pendekatan pelbagai deria untuk meningkatkan kesedaran fonologi, kefasihan membaca dan pemahaman teks.

“Pendekatan Berasaskan Kekuatan (Strength-based approach) juga boleh dijalankan. Kanak-kanak dengan Disleksia sering mempunyai kekuatan dalam pemikiran kreatif, penyelesaian masalah dan kemahiran lisan. Jika mengenal pasti dan memanfaatkan kekuatan ini, kita dapat meningkatkan keyakinan dan motivasi mereka,” katanya.

Katanya lagi, Sekolah Inklusif dan Pelan Pendidikan Individu (IEP) iaitu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inklusif amat penting untuk memastikan kanak-kanak dengan disleksia mendapat sokongan yang sesuai.

Sekolah disarankan untuk menyediakan Pelan Pendidikan Individu (IEP) yang mengandungi matlamat khusus dan penyesuaian pembelajaran seperti masa tambahan semasa peperiksaan, saiz tulisan yang lebih besar atau akses kepada teknologi bantuan seperti perisian bacaan teks.

“Bagi kanak-kanak dengan Disleksia yang memerlukan sokongan yang lebih menyeluruh, pendaftaran ke dalam Kelas Disleksia di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) boleh dipertimbangkan.

“Pengurusan komobiditi seperti ADHD dan cabaran fungsi eksekutif juga dijalankan kerana Kanak-kanak dengan Disleksia mengalami masalah fungsi eksekutif yang membabitkan pengurusan tingkah laku, pengurusan masa, dan daya ingatan kerja (working memory),” katanya.

Dr. Lee berkata, peranan ibu bapa juga penting bagi membantu dalam pembelajaran anak Disleksia dengan mewujudkan persekitaran rumah yang positif melalui dorongan emosi dan pujian yang konsisten.
Kesimpulannya, Disleksia bukan halangan untuk anak-anak anda mencapai kejayaan. Sebaliknya, kanak-kanak Disleksia mempunyai peluang sama untuk berjaya dalam akademik jika mendapat sokongan dan strategi pembelajaran yang sesuai.

Ramai individu berjaya dalam pelbagai bidang walaupun mereka mengalami disleksia. Antaranya, Albert Einstein dan Leonardo da Vinci adalah antara tokoh terkenal dengan ciri-ciri Disleksia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN