Hanya kerana terdedah dengan haba pengering rambut, seorang pesakit diabetes kehilangan kaki selepas dipotong berikutan luka di tapak kakinya tidak sembuh.
Kejadian itu berlaku apabila anaknya meletakkan alat pengering rambut yang sedang digunakannya di atas katil, berhampiran kaki pesakit yang sedang terbaring.
Ketika itu, pesakit tidak merasakan haba panas itu kerana mengalami Diabetes Neuropati iaitu kerosakan saraf pada tangan dan kaki yang menyebabkan pesakit hilang deria rasa pada kaki.
Keesokan harinya, terdapat gelembung-gelembung kecil pada kakinya. Namun pesakit hanya membiarkan saja gelembung itu kerana tidak berasa apa-apa dan hanya datang berjumpa doktor selepas kakinya itu bernanah.
Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma, KPJ Tawakkal, Dr. Rajvinder Singh berkata, pesakit diabetes perlu menjaga kaki bagi mencegah berlaku luka atau ulser yang seringkali berakhir dengan pemotongan gara-gara luka tidak dapat dikawal.

“Kadangkala punca pemotongan remeh saja seperti dalam kes ini yang boleh menyebabkan kaki pesakit mengalami luka sehingga terpaksa dipotong. Walaupun luka cuba dirawat dengan dibersihkan tetapi kaki tidak dapat diselamatkan. Akibatnya separuh kakinya terpaksa dipotong.
“Kadar gula terlalu tinggi di dalam darah juga boleh menyebabkan kerosakan pada saraf tangan dan kaki yang dikenali sebagai Diabetes Neuropati. Ia sering berlaku di kaki kerana aliran darah paling rendah di kaki berbanding bahagian lain,” katanya.
Dr. Rajvinder berkata demikian pada Bicara Kesihatan, Pulih Daripada Kencing Manis dan Obesiti sempena Pelancaran Program Penjagaan Kencing Manis, di Hospital KPJ Tawakkal, baru-baru ini.
Apabila ada kencing manis dan penyakit penyempitan pembuluh darah di luar jantung atau periferal vaskular, pengaliran darah ke kaki juga akan terbantut. Seterusnya ini menghilangkan deria rasa pada kaki.
Kehilangan deria rasa menyebabkan pesakit tidak sedar jika kaki luka apabila terpijak objek keras atau tajam kerana kaki paling terdedah kepada pelbagai risiko kecederaan. Lama kelamaan luka boleh bernanah seterusnya menyebabkan jangkitan kuman.
Keadaan gula yang tidak terkawal atau tinggi di dalam darah, mengurangkan daya ketahanan badan kita. Sel darah putih juga tidak dapat berfungsi dengan berkesan untuk melawan jangkitan kuman menyebabkan jangkitan berlarutan dan merebak.
Justeru katanya, oleh kerana pesakit tidak dapat lagi merasa sakit, sebaiknya pesakit memeriksa kaki sendiri setiap hari. Periksa juga tapak dan celah-celah jari kerana biasanya jika ia lembab, boleh menyebabkan berlaku jangkitan kuman dan kudis.
“Sekiranya terdapat lebam, mengelupas atau kulit pecah-pecah, kulit lembab atau berair, terlalu kering, bengkak, ketuat atau kulit yang menebal, segera dapatkan rawatan,” katanya.
Katanya lagi, lapisan kulit tebal pada tapak kaki juga boleh menyebabkan tekanan dan rekahan, ulser atau lepuhan. Lepuhan selalunya boleh juga berlaku disebabkan pemakaian kasut ketat atau kasut yang keras.
Kuku yang mencengkam kaki, boleh menyebabkan isi pada kuku bernanah, seterusnya menjadikan ulser atau luka pada kaki.
Kulit kering juga berisiko lukakan kaki
Dr. Rajvinder Singh berkata, pesakit diabetes perlu sentiasa terjaga dan berkeadaan bersih. Kaki tidak boleh terlalu kering atau lembab kerana akan terdedah kepada luka atau jangkitan kulat.
“Bersihkan kaki dengan merendamnya di dalam air suam. Gunakan sabun lembut dan beri perhatian pada celah-celah jari kaki. Jangan rendam kaki lebih dari lima minit. Pastikan air rendaman tidak terlalu panas,” terangnya.
Tambahnya, pastikan juga kaki dikeringkan selepas direndamkan. Bagi menjaga kelembutan kaki, sapukan krim atau losyen pelembab.
Kulit kering juga berbahaya dan berisiko untuk mendapat luka-luka di kaki. Sekiranya kulit terlalu kering, sapukan pelembab beberapa kali sehari.
Elakkan losyen berasaskan jeli petroleum seperti vaselin. Ini kerana ia boleh menyebabkan kulit terbakar. Vaselin juga berasaskan kalis air, jadi ia memerangkap kelembapan di bawah kulit. Ia tidak bagus kerana mendedahkan kepada risiko jangkitan.
Pilih Jenis kasut yang sesuai
Pastikan muncung kasut berbentuk U bukan V kerana bentuk V akan menyebabkan jari kaki bergesel dengan dinding kasut yang keras dan boleh menyebabkan kaki luka.
“Kedua, pastikan kasut tidak berat. Paling baik adalah kasut sukan yang fleksibel dan membolehkan anda bergerak bebas. Tapaknya juga disokong dengan kusyen tebal. Sebaiknya, pakai kasut yang menutup semua bahagian kaki bukannya selipar jepun.
“Tali kasut diikat sehingga ke atas untuk memastikan buku lali bertutup dengan selesa. Tendon dalam kaki pesakit diabetes tidak kuat. Jadi, kalau pakai tali separuh saja, pergerakan tendon akan berlebihan,” katanya.
Katanya lagi, kasut bertumit dan tidak tertutup sepenuhnya tidak stabil dan sebaiknya dielakkan.
Lebih baik tidak memakai kasut langsung daripada memakai kasut ini kerana berisiko mencederakan kaki dan mendapat luka.
Senaman kaki lancar aliran darah
Dr. Rajvinder Singh memberitahu, senaman juga sangat penting untuk pesakit diabetes bagi memastikan peredaran darah di kaki selain mengawal kandungan gula dalam darah dan berat badan.
“Senaman kaki sangat mudah iaitu duduk di kerusi seperti biasa dan gerakkan jari kaki ke bawah dan tahan selama beberapa minit. Kemudian gerakkan tapak kaki, gerakkan tumit ke kiri dan ke kanan.
“Lapik tumit supaya tiada tekanan pada tumit, kemudian pusingkan kaki, dalam bentuk bulatan bagi merangsang deria kaki.
“Elakkan menggunakan alat mengurut kaki kerana kita tidak boleh menahan tekanan selain tidak tahu tahap suhunya. Jangan buat urutan refleksologi kerana kita tidak tahu tahap tekanan termasuk kasut-kasut refleksologi yang tajam atau berkaki ayam berjalan di atas batu yang tajam di taman kerana ia boleh menyebabkan luka pada kaki,” katanya.
Katanya, pesakit diabetes perlu membuang tabiat merokok kerana ia akan mempercepatkan proses penyempitan salur darah di jantung atau luar jantung dan memburukkan lagi simptom kencing manis.
Kesimpulannya penyakit ulser kaki, boleh dielakkan sekiranya pesakit menjaga kesihatan tubuh badan mereka. Lebih penting, pesakit boleh mengurangkan risiko pemotongan kaki akibat luka yang tidak terkawal. – UTUSAN










