Makanan barat sebabkan radang usus?

Makanan barat sebabkan radang usus?

AHLI panel forum radang usus yang dianjurkan oleh Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) sempena Hari Kesedaran Kesihatan Usus 2024, baru-baru ini iaitu (dari kiri) Dr. Syaratul Dalina Yusoff. Dr. Shanti Krishnasamy, Dr. Deborah Chew Chia Hsin, dan Dr. Khairul Najmi Muhammad Nawawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengamal­kan pemakanan cara barat yang popular dalam kalangan orang muda hari ini, secara tidak langsung meningkatkan kes penyakit radang usus di negara ini.

Penyakit radang usus atau IBD adalah keadaan kronik yang membabitkan keradangan pada saluran usus kita. Sekiranya ia tidak dirawat, IBD boleh membawa komplikasi serius seperti penyumbatan usus, ulser dan berisiko tinggi untuk mendapat kanser usus.

Antara corak pemakanan barat adalah makanan ultra proses seperti burger, nuget, sosej dan pizza. Ini diburukkan lagi dengan kurangnya pengambilan serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Pensyarah Dietetik Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Shanti Krishnasamy berkata, penyakit IBD selalunya berlaku di negara maju tetapi kini menular di negara membangun seperti Malaysia.

“Pembangunan pesat ke arah negara maju mempengaruhi corak pemakanan yang bertukar kepada diet kebaratan seperti makanan segera, tinggi lemak, tinggi kandungan gula dan kurang mengandungi serat.

Fungsi usus
 Bukan sekadar organ pencernaan tetapi sebagai pusat kesihatan tubuh
 Mengandungi trilion bakteria baik yang berfungsi mencerna makanan, menghasilkan vitamin dan melindungi tubuh daripada patogen bahaya.
 Usus penting dalam sistem imun, kesihatan mental dan pencegahan penyakit kronik.
Punca ketidakseimbangan bakteria:
 Diet yang tidak sihat/diet barat
 Penggunaan
antibiotik berlebihan
 Tekanan
hidup

MENU makanan Barat semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia. -GAMBAR HIASAN

“Makanan dalam diet orang barat ini adalah makanan ultra proses yang mengandungi emulsifier yang boleh meningkatkan radang usus besar dan kecil. Ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan bakteria di dalam usus yang turut dikenali sebagai ‘gut dysbiosis,” katanya.

Dr. Shanti berkata demikian pada forum radang usus yang dianjurkan oleh Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) sempena Hari Kesedaran Kesihatan Usus 2024, baru-baru ini. Ahli panel lain ialah Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi HCTM, Dr. Deborah Chew Chia Hsin dan Dr. Khairul Najmi Muhammad Nawawi serta Pensyarah Fakulti Farmasi UKM, Dr. Syaratul Dalina Yusoff.

Dr. Shanti berkata, setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya satu hidangan buah atau sayur dengan kuantiti 25 hingga 30 gram serat bagi setiap hidangan bagi memastikan usus sihat.

“Bagaimanapun, kajian di negara ini mendapati ramai yang kurang makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Secara praktikalnya anda boleh mengamalkan formula pinggan sihat iaitu suku-suku separuh di mana separuh pinggan perlu ada buah dan sayur.

“Satu jenis sayur pun sudah memadai sama ada sayur yang dimasak atau mentah seperti ulam. Sebaiknya kuantiti sayur yang dimakan adalah setengah cawan bagi setiap hidangan dan ulam pula satu cawan. Pastikan makan satu hidangan buah-buahan setiap kali waktu makan seperti sebiji epal atau pisang,” katanya.

Tambahnya, kuantiti buah-buahan dan sayur-sayuran boleh ditambah sedikit demi sedikit dan hendaklah mengurangkan pengambilan lemak. Ini boleh dilakukan dengan menukar kaedah memasak dengan kurangkan minyak seperti stim.

“Makanan tradisional kita lebih sihat berbanding makanan barat. Diet Mediterranean juga antara yang baik untuk diamalkan kerana ia tinggi kandungan buah-buahan dan sayur-sayuran serta bijirin yang tinggi serat.

“Amalkan makan nasi daripada beras perang atau roti bijirin penuh yang kaya kandungan serat. Pengambilan protein berasaskan tumbuh-tumbuhan juga baik untuk kesihatan usus seperti tempe dan tofu,” katanya.

bakteria

Sementara itu Dr. Dalina berkata, pengambilan probiotik juga baik bagi mengim­bangkan bakteria baik dan jahat dalam usus dan memastikan kerjasama antara bakteria dalam sistem pertahanan kita.

“Usus manusia mengandungi bakteria yang lebih banyak daripada sel badan kita sendiri. Kesemua bakteria baik dan jahat perlu seimbang bagi memastikan usus kita sentiasa sihat yang turut mempengaruhi kesihatan kita.

“Cara mengekalkan kedua-dua bakteria ini adalah melalui makanan mengandungi probiotik seperti yogurt tetapi orang ramai perlu berhati-hati dengan kandungan gula di dalamnya kerana boleh meningkatkan risiko gula tinggi di dalam darah,” katanya.

Terangnya, apabila bakteria tidak seimbang atau bakteria baik di dalam usus lebih rendah berbanding bakteria jahat, ini memberikan kesan ketidakserapan usus ke atas nutrisi makanan yang dimakan.

Gejala, komplikasi

Tambah Dr. Khairul, radang usus akan memberikan gejala seperti cirit-birit kronik yang boleh berlangsung sehingga empat minggu atau lebih. Sekiranya gejala ini berlaku, pesakit perlu menjalani ujian saringan radang usus.

“Selain cirit-birit, pesakit mungkin akan merasakan pengeluaran lendir ketika membuang air besar. Perut terasa tidak selesa di sebelah kiri atau kanan dan pada masa sama alami pendarahan selama beberapa minggu.

“Gejala lain seperti penurunan berat badan, mengalami demam beberapa minggu, sakit sendi dan ulser di dalam mulut. Gejala ini muncul beberapa bulan sehingga pesakit menemui doktor untuk menjalani saringan,” katanya.

Justeru, katanya sebaiknya pesakit segera berjumpa doktor apabila mendapati gejala atau simptom radang usus. Ujian darah perlu dilakukan untuk melihat sama ada berlaku radang dalam usus.

Selain itu, doktor juga akan memeriksa fungsi hati dan buah pinggang melalui ujian darah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN